Imigresen tahan 47 warga asing dalam serbuan di kelab malam terkenal di JB

Bernama
Ogos 4, 2022 16:59 MYT
Khairul Dzaimee berkata, 43 wanita warga Thailand, seorang wanita warga Laos, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 1 pagi itu. - Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 47 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah kelab malam terkenal yang menyajikan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing di Taman Bukit Indah Nusajaya, Johor awal pagi ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, 43 wanita warga Thailand, seorang wanita warga Laos, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan ditahan dalam operasi yang bermula pukul 1 pagi itu.
Beliau berkata selain warga asing, tiga warga tempatan iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang berperanan sebagai penjaga premis itu ditahan reman bagi membantu siasatan
"Kesemua wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai GRO manakala lelaki warga asing sebagai pekerja am di kelab malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata modus operandi yang dijalankan adalah pelayan-pelayan akan berdiri di atas pentas dan pengunjung akan memilih dengan menyarungkan kalungan bunga kepada pelayan yang dikehendaki.
"Bayaran yang dikenakan di antara RM200 sehingga RM300 bagi setiap kalungan bunga. Sekiranya pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan seks daripada pelayan, bayaran yang dikenakan adalah sekitar RM1,000 ke RM1,500 satu malam," katanya.
Khairul Dzaimee berkata semakan awal mendapati wanita warga asing itu memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong.
"Mereka memenuhi syarat-syarat kemasukan bagi tujuan melancong namun kemudahan yang Imigresen berikan ini telah disalah guna," katanya.
"Ada juga pengunjung yang cuba melakukan provokasi dengan mencabar pegawai operasi dan melemparkan kata-kata kesat, namun situasi berjaya dikawal dan ditenteramkan," katanya.
Beliau berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala tiga warga tempatan itu pula ditahan dibawah Seksyen 55E dan 56(1)d Akta Imigresen.
"Imigresen turut merampas 50 naskah pasport pelbagai warganegara," katanya menambah, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika, Johor untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
#warga asing #kelab malam #Nusajaya #Imigresen
;