Imigresen tahan 14 warga asing terlibat kegiatan pelacuran di Subang Jaya

Bernama
Januari 19, 2022 15:07 MYT
Semua yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil. - Foto Jabatan Imigresen
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan 13 wanita dan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dalam serbuan di dua hotel bajet di Subang Jaya, Selangor, malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata mereka yang terdiri daripada 12 wanita warganegara Thailand, seorang wanita Myanmar serta seorang lelaki Britain berusia 21 hingga 69 tahun ditahan pada 8.45 malam menerusi Ops Gegar yang dijalankan serentak di kedua-dua premis.
Beliau berkata pihak Imigresen turut mengeluarkan notis hadir memberi keterangan kepada tiga pelanggan lelaki tempatan dan hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan asing.
"Pakej perkhidmatan seks ditawarkan pada harga RM200 hingga RM270 bagi tempoh 45 minit dan RM950 bagi langganan 'outcall' bermula dari 10 malam hingga 7 pagi. Pelanggan membuat tempahan melalui laman sesawang dan Telegram," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata semasa serbuan, kesemua wanita berkenaan enggan membuka pintu bilik dan membuat provokasi serta memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.
Beliau berkata serbuan turut menemukan sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.
Katanya semua mereka dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #Subang Jaya #pelacuran #Khairul Dzaimee Daud
;