Imigresen sudah bersedia jika pintu sempadan dibuka semula

Bernama
Oktober 6, 2021 20:00 MYT
Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua sistem 'autogate' telah diaktifkan semula setelah 'direhatkan' kira-kira kurang dua tahun setengah. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) sudah bersedia dari segi sistem, stok buku pasport dan tenaga kerja untuk pembukaan semula sempadan negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.
"Sekiranya kerajaan membuat keputusan membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat ini, JIM telah bersedia melaksanakan keputusan itu," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata JIM mempunyai simpanan sebanyak 1.2 juta buku pasport yang mampu menampung permintaan sehingga Jun tahun depan.
Selain itu, katanya persediaan di pintu masuk negara telah dilaksanakan dengan semua sistem 'autogate' telah diaktifkan semula setelah 'direhatkan' kira-kira kurang dua tahun setengah.
"Dari segi tenaga kerja, pegawai dan kakitangan telah digerakkan semula untuk memulakan tugas seperti mana sebelum COVID-19," katanya.
Khairul Dzaimee hari ini turut memantau pelaksanaan projek rintis permohonan pembaharuan pasport Malaysia antarabangsa (PMA) secara dalam talian di Ibu Pejabat Imigresen di sini, yang menyediakan kemudahan kaunter layan diri serta pegawai untuk membantu pemohon menggunakan sistem tersebut bermula 1 Okt lalu.
Menurutnya, permohonan pasport secara dalam talian telah meningkat tahun ini dengan jumlah 69,371 setakat September lepas, berbanding 52,016 yang dikeluarkan JIM pada 2020.
Beliau berkata peningkatan permohonan pasport dilihat bermula pertengahan tahun ini ekoran beberapa kelonggaran dalam kategori permohonan 'MyTravelPass' dan jumlah dijangka terus meningkat sekiranya kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan dalam masa terdekat.
Pada 3 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rakyat Malaysia dibenarkan ke luar negara tanpa perlu memohon 'MyTravelPass' selepas program vaksinasi negara melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai kadar 90 peratus.
Khairul Dzaimee berkata kaunter khas seperti dalam projek perintis secara dalam talian itu akan diperluaskan ke pejabat Imigresen di seluruh negara untuk membolehkan orang ramai memanfaatkan sistem itu dalam urusan pembaharuan pasport.
Sementara itu seorang seorang pemohon pasport yang ditemui hari ini Amira Syahirah Mohd Zulkefli berkata proses dalam talian untuk urusan pembaharuan pasport itu amat mudah, dan masa yang terlibat sehingga mengambil pasport tidak sampai 30 minit.
"Pengalaman membuat permohonan pembaharuan ini amat menyenangkan bagi saya. Saya datang dan terus isi maklumat secara dalam talian di kaunter khas yang disediakan dan tidak sampai 30 minit, pasport saya siap.
"Saya kini menunggu pengumuman kerajaan berhubung pembukaan semula pintu sempadan negara kerana perlu ke Belgium untuk melatih kuda," kata jurulatih muda berumur 27 tahun itu.
Seorang lagi pemohon yang memperbaharui pasportnya Azhar Marzuki pula berpendapat urusan melalui sistem dalam talian perlu dikembangkan kepada agensi yang lain, kerana ia bukan sahaja mudah malah memberi kesenangan kepada mereka yang bekerja.
"Sistem dalam talian yang diwujudkan JIM ini amat bagus dan mudah kerana kita hanya perlu mengisi segala maklumat melalui telefon pintar atau komputer riba di mana-mana sahaja.
"Lepas itu kita hanya memilih tarikh dan waktu yang sesuai untuk mengambil pasport dan ia memakan masa tidak sampai 30 minit. Ia memudahkan orang yang bekerja yang tidak mengambil cuti sehari untuk urusan pembaharuan pasport," katanya yang perlu ke luar negara atas urusan perniagaan.
-- BERNAMA
#pembukaan sempadan negara #jabatan imigresen #rentas negara #pintu sempadan
;