Imigresen siasat dakwaan menteri cetus kekecohan di KLIA

Hilmi Malik
Jun 30, 2023 18:22 MYT
Ruslin berkata siasatan serta-merta telah dijalankan berikutan laporan kejadian itu yang tular selepas dilaporkan sebuah portal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Jabatan Imigresen telah memulakan siasatan susulan dakwaan berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan seorang menteri pada Khamis.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, berkata siasatan serta-merta telah dijalankan berikutan laporan kejadian itu yang tular selepas dilaporkan sebuah portal.
"Laporan portal berkenaan mendakwa seorang menteri telah mencetuskan kekecohan selepas menuntut pihak imigresen membebaskan seorang pelawat dari China yang dikenakan sekatan.
"Jabatan ini sudah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan dalam berita terbabit.
"Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rsulin dalam masa sama menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden itu selain memberikan ruang kepada pihak imigresen untuk melaksanakan siasatan.
Media terdahulu melaporkan tular di media sosial seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen, pada Khamis.
#KLIA #menteri buat kecoh #jabatan imigresen #siasatan
;