Imigresen serbu pangsapuri mewah, tahan 40 pendatang tanpa izin

Bernama
Julai 13, 2024 10:30 MYT
Anggota Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menyoal tiga warga asing yang ditahan di pangsapuri mewah di Brickfields dalam serbuan bermula 12 tengah malam dan berakhir 4 pagi tadi. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menahan 40 pendatang tanpa izin di pangsapuri mewah di Brickfields dalam serbuan bermula 12 tengah malam dan berakhir 4 pagi tadi.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 25 warga India, Sri Lanka (10), masing-masing dua warga Pakistan dan Myanmar serta seorang warga Bangladesh berusia tiga hingga 61 tahun.
"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki pas atau permit untuk tinggal di Malaysia, pas tamat tempoh serta tinggal lebih masa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, setiap unit pangsapuri berkenaan disewa dengan kadar lebih RM2,000 sebulan dan didiami lapan warga asing yang kebanyakannya bekerja dalam bidang pembinaan dan makanan.
Kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. - BERNAMA
#pendatang tanpa izin #Imigresen #pas tamat tempoh #Depot Imigresen Bukit Jalil
;