Imigresen serbu 12 kilang proses e-waste haram, tahan 420 pendatang tanpa izin

Bernama
Februari 24, 2025 23:37 MYT
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan majoritinya warga Bangladesh, diikuti Myanmar dan Nepal. - Foto Sinar Harian
SEGAMAT: Jabatan Imigresen menahan 420 pendatang tanpa izin disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam serbuan serentak di 12 kilang memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) haram, masing-masing 10 di Johor dan dua di Telok Panglima Garang, Selangor, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Jafri Embok Taha berkata dalam operasi bermula pada 9 pagi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, pihaknya telah memeriksa sebanyak 753 individu dan antara kesalahan dikesan ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa di negara ini dan menyalahgunakan dokumen perjalanan.
"Kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan majoritinya warga Bangladesh, diikuti Myanmar dan Nepal," katanya yang turut serta dalam satu daripada 12 operasi terbabit di sebuah kilang berkeluasan sebesar 16 padang bola sepak di Jalan Buloh Kasap di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua tangkapan di Jalan Buloh Kasap itu dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka dan Depot Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk siasatan lanjut.
Selain itu, Jafri berkata jabatan itu turut menahan lima warga tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai bertindak sebagai wakil majikan bagi menguruskan warga asing berkenaan.
"Tindakan bakal diambil mengikut pelbagai Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, selain siasatan juga akan melihat sama ada mereka melakukan kesalahan berulang," katanya.
Tinjauan Bernama di sebuah kilang di sini mendapati pihak majikan turut menyediakan asrama kepada pekerja warga asing itu, namun asrama yang mempunyai sekurang-kurang empat blok itu dalam keadaan kotor, tidak selesa serta dihuni melebihi kapasiti yang sepatutnya.
Setiap bilik dilengkapi dengan katil dua tingkat buatan sendiri, alatan memasak yang berterabur serta sambungan wayar elektrik yang terdedah sekali gus merisikokan nyawa mereka.
Khamis lepas, Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar menumpaskan kegiatan memproses e-waste secara haram di seluruh negara melibatkan nilai rampasan berjumlah RM3.8 bilion bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 17 Feb 2025.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #serbu #kilang proses e-waste haram #pendatang tanpa izin
;