Imigresen selamatkan dua wanita Bangladesh disyaki mangsa eksploitasi seks

Bernama
November 19, 2024 23:00 MYT
JIM memaklumkan operasi yang bermula pada 2.38 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) menyelamatkan dua wanita warga Bangladesh berusia 30 dan 34 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks, dalam satu operasi di Kuala Lumpur semalam.
JIM dalam kenyataan memaklumkan operasi yang bermula pada 2.38 petang itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Jabatan itu memberitahu operasi terbabit membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 36 tahun yang dipercayai menjadi dalang utama dan menjadikan lokasi yang diserbu itu sebagai pusat aktiviti seks.
"Pasukan operasi turut menahan dua lelaki Bangladesh berumur 30 dan 39 tahun dipercayai sebagai ahli sindiket dan seorang lelaki berusia 50 tahun dari negara sama yang merupakan pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Imigresen menjelaskan modus operandi sindiket ialah membawa masuk wanita warga asing terutamanya dari Bangladesh dengan menjanjikan tawaran pekerjaan berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan di negara ini.
"Wanita warga asing yang baru tiba di Malaysia akan dibawa ke lokasi yang dijadikan tempat tinggal dan kemudian dibawa ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti seks.
"Mangsa dipaksa bekerja dari pagi hingga tengah malam dengan melayani pelanggan warga asing yang diuruskan oleh sindiket," menurut kenyataan itu dan menambah mangsa yang dipercayai dieksploitasi sejak sebulan lepas itu tidak menerima sebarang bayaran.
Menurut Jabatan Imigresen, operasi dijalankan menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0 manakala penguatkuasaan adalah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #wanita warga Bangladesh #mangsa eksploitasi seks #Kuala Lumpur
;