Imigresen selamatkan 10 wanita jadi mangsa pemerdagangan manusia di Seremban

Bernama
November 1, 2023 20:51 MYT
Mangsa yang diselamatkan dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dieksploitasi sebagai tukang urut. - Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
KUALA LUMPUR: Seramai 10 wanita warga asing berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen dalam serbuan di sebuah premis perniagaan pusat urut di Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia dalam laman Facebook rasminya menyatakan kesemua wanita yang ditahan berusia lingkungan antara 20 hingga 40 tahun.
"Mangsa yang diselamatkan dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia yang dieksploitasi sebagai tukang urut di premis berkenaan.
"Seorang lelaki tempatan berperanan menyelia premis terbabit turut ditahan bagi siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya.
Jabatan Imigresen memaklumkan operasi dijalankan Unit Risikan Operasi, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Imigresen Putrajaya hasil daripada aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan.
Menurut kenyataan itu, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah dengan mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI)
Dalam pada itu, imigresen juga menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat yang dapat membantu pihaknya membanteras jenayah pemerdagangan manusia serta penyeludupan imigran dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta ATIPSOM 2007.
-- BERNAMA
#Imigresen #pemerdagangan manusia #Seramban #tukang urut
;