Imigresen P.Pinang tahan 17 GRO warga asing
Bernama
Februari 12, 2016 11:31 MYT
Februari 12, 2016 11:31 MYT
Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 17 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma, di sini malam tadi.
Penolong Pengarahnya, Abdul Rahman Hassan berkata hasil maklumat dan intipan yang dijalankan sejak seminggu lepas, pihaknya menyerbu pusat hiburan itu pada 10.30 malam dan menahan semua wanita berusia 20 hingga 40 tahun.
"Berdasarkan intipan pihak Imigresen, pusat hiburan itu menggaji wanita asing sebagai pelayan pelanggan dan sepasukan penguat kuasa terdiri daripada 27 pegawai dan anggota menyerbu premis berkenaan semalam.
"Semasa serbuan, ada antara wanita berkenaan cuba melarikan diri melalui beberapa laluan khas yang terdapat di pusat hiburan itu, tapi gagal kerana kami terlebih dahulu mengepung premis terbabit," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati 10 wanita warga China dan tujuh wanita Vietnam itu masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan dan bekerja di premis hiburan berkenaan tanpa permit kerja.
Abdul Rahman berkata semasa serbuan terdapat lapan lelaki tempatan di premis hiburan itu dan pihaknya turut merekodkan keterangan mereka bagi membantu siasatan.
Katanya semua wanita warga asing yang ditahan dibawa balik ke Pejabat Imigresen Seberang Jaya, dekat sini untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi tindakan lanjut.