Imigresen mula operasi buru PATI

Astro Awani
Julai 1, 2017 12:34 MYT
MUSTAFAR: Tarikh tamat permohonan tidak akan dilanjutkan.
Jabatan Imigresen memulakan operasi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas berakhirnya tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad), dengan menahan 51 warga asing dalam serbuan di dua asrama penginapan di Batu 7, Kapar, Klang, awal pagi tadi.
Selain sepasukan 86 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Putrajaya dan Selangor, operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu turut disertai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali.
Menurut Mustafar, operasi itu dijalankan pihaknya di seluruh negara selepas tempoh pendaftaran dan permohonan E-Kad sejak 15 Februari lalu berakhir tengah malam tadi, sekali gus membuktikan pihaknya serius memburu PATI yang tidak mematuhi undang-undang negara ini.
Kata Mustafar, pihaknya tidak menerima alasan segelintir PATI mendakwa tidak mengetahui mengenai tarikh tamat tempoh permohonan E-Kad antaranya kerana tidak dimaklumkan oleh majikan mereka.
“Jangan melindungi PATI. Tetapi apabila mereka masih melindungi ataupun tidak mendaftarkan dengan peluang ini, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil termasuk kompaun, penjara dan sebatan.
“Tetapi bukanlah Imigresen yang tetapkan hukuman itu. Setakat denda mereka boleh bayar kompaun tetapi apabila tindakan mahkamah diambil, maka mereka akan berhadapan dengan tindakan mahkamah termasuk penjara, penalti dan sebatan. Terpulang pada mereka untuk ambil yang mana,” ujar Mustafar.
Tambahnya, majikan yang menggaji PATI turut diburu.
Dalam serbuan di dua lokasi di Klang, seramai 239 warga asing diperiksa. Hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati hanya 51 daripada mereka melakukan kesalahan tiada dokumen perjalanan sah dan menetap lebih masa.
Mereka terdiri 38 warga Bangladesh, lima warga Nepal dan masing-masing empat Myanmar serta Indonesia.
Sementara itu, 188 warga asing lain dibebaskan kerana mempunyai dokumen lengkap dan E-Kad.
Sehingga jam 10 malam tadi, 28,375 majikan tampil mendaftarkan PATI masing-masing selain 145,571 E-Kad sudah dikeluarkan sekali gus menunjukkan program itu dianggap tidak berjaya kerana gagal mencapai sasaran 600,00 orang yang ditetapkan.
E-Kad berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan untuk membolehkan warga asing itu terus bekerja di negara ini.
Selepas mendaftar, majikan dan warga asing tu perlu mendapatkan pasport daripada kedutaan masing-masing untuk tujuan pemutihan.
Kad itu bagaimanapun hanya sah sehingga 15 Februari 2018 dan jika majikan masih tidak membuat permohonan dokumen permit kerja serta pasport bagi pekerjanya, tindakan pengusiran akan dijalankan.
#e-kad #Imigresen #Mustafar Ali #operasi #pati #pekerja asing #warga asing
;