Imigresen Melaka tahan 44 warga asing di tapak festival makanan

Bernama
Oktober 29, 2022 15:43 MYT
Ketika serbuan dilakukan kesemua warga asing tersebut tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana sedang leka melayan pelanggan di gerai masing-masing.
MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan 44 warga asing termasuk 16 wanita dalam dua serbuan berasingan di tapak festival makanan di Batu Berendam dan Ayer Keroh pada Op Selera di sini semalam.
Pengarah Imigresen negeri Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kesemua mereka yang berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun itu ditahan ketika sedang bekerja sebagai jurujual makanan dan didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
"Serbuan kira-kira pukul 5 petang dan berakhir 11.30 malam itu berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dijalankan berkaitan festival makanan itu yang didapati menggunakan khidmat pendatang tanpa izin sebagai pekerja tanpa mendapat pas atau permit kerja sah terlebih dahulu.
"Kesemua mereka ialah seorang lelaki warga Myammar, 19 lelaki dan 15 perempuan Thailand, lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen manakala 60 rakyat tempatan yang turut diperiksa pula dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Anirwan Fauzee berkata ketika serbuan dilakukan kesemua warga asing tersebut tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana sedang leka melayan pelanggan di gerai masing-masing.
Katanya hasil pemeriksaan dan siasatan ke atas kedua-dua penganjur festival makanan tersebut mendapati majikan juga gagal mengemukakan sebarang kelulusan daripada agensi berkaitan bagi membenarkan warga asing menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang festival itu berlangsung.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, pas lawatan kerja sementara tamat tempoh dan kesalahan utama majikan adalah kerana menggaji dan melindungi warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan dan Akta Imigresen.
"Sebanyak lapan borang saman saksi turut dikeluarkan kepada penganjur dan majikan untukmembantu siasatan dan kesemua tahanan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut," katanya.
Anirwan Fauzee juga memberi amaran kepada penganjur atau majikan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan Akta Imigresen yang sedang berkuat kuasa bagi mengelak daripada dikenakan tindakan perundangan yang tegas tanpa kompromi dan orang ramai juga diminta supaya terus menyalurkan maklumat tentang pemdatang tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan secara berterusan.
-- BERNAMA
#jabatan imigresen #Melaka #warga asing #pati #festival makanan
;