Imigresen lakukan 277 pemeriksaan mengejut di kaunter pintu masuk negara sejak 2023

Bernama
September 9, 2024 18:00 MYT
Pemeriksaan mengejut bertujuan memastikan setiap pegawai imigresen melaksanakan tugas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) melakukan 277 pemeriksaan mengejut di kaunter jabatan itu di semua pintu masuk negara ini sejak tahun lepas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh.
Bercakap pada sidang media mengenai Operasi Khas Imigresen di sini hari ini, Ruslin berkata langkah itu bertujuan memastikan setiap pegawai imigresen melaksanakan tugas dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan.
"Kalau berlaku pelanggaran SOP atau peraturan, mereka ini akan dikenakan tindakan tatatertib. Kalau ada pegawai Imigresen yang sudah lama bertugas di satu-satu lokasi, kita akan buat pertukaran ke tempat lain.
"Jika ada keperluan, tempoh berkhidmat di satu-satu lokasi akan dipendekkan untuk tujuan pusingan kerja khususnya di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Kota Kinabalu," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah jabatan itu dalam menangani isu mengatur kaunter daripada berulang.
Ruslin berharap langkah itu dapat membantu menangani isu berkenaan sekali gus meningkatkan tahap integriti, memperkasakan penguatkuasaan dan menjaga imej jabatan.
Bagi mengatasi isu kesesakan di kaunter imigresen, beliau berkata pelaksanaan sistem dalam talian bagi urusan pembaharuan pasport merupakan kaedah terbaik dan pihaknya akan sentiasa berusaha menambah baik aspek pengurusan bagi memudahkan orang ramai.
"Urusan dalam talian ini juga dapat melancarkan urusan kerja pegawai kita selain menjimatkan masa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ruslin berkata beliau telah mengarahkan siasatan khas dan menyeluruh dijalankan berhubung kes seorang wanita warga Singapura yang mendakwa ditahan selama tujuh hari oleh jabatan itu selepas terlibat dalam perselisihan faham dengan pegawai di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor.
"Siasatan ini diketuai oleh timbalan saya. Ia bertujuan mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sama ada pegawai yang bertugas mematuhi proses serta peraturan ditetapkan. Ini untuk beri keadilan kepada semua pihak," katanya.
Beliau berkata isu itu akan diselesaikan segera demi menjaga nama baik jabatan dan Malaysia.
Media baru-baru ini melaporkan seorang wanita warga Singapura berusia 36 tahun ditahan tujuh hari hingga 13 Ogos lepas selepas terlibat dalam insiden perselisihan faham di CIQ pada 7 Ogos.
-- BERNAMA
#Jabatan Imigresen Malaysia #pemeriksaan mengejut #pintu masuk negara #Ruslin Jusoh
;