Imigresen Kedah tahan 12 warga asing
Sinar Harian
November 5, 2018 23:08 MYT
November 5, 2018 23:08 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menahan 12 warga asing termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Thailand berusia empat tahun dalam Ops Mega 3.0 yang dijalankan di sekitar daerah ini bermula malam tadi dan berakhir pagi ini.
Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, operasi bermula 10 malam hingga 8 pagi tadi melibatkan 13 orang pegawai dan anggota JIM yang menumpukan pemeriksaan di premis kediaman serta restoran.
“Daripada 23 premis yang diperiksa, seramai 12 orang terdiri 10 lelaki dan dua perempuan (termasuk seorang kanak-kanak) warga Indonesia, Bangladesh, India, dan Thailand ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zuhair berkata pemeriksaan mendapati semua yang ditahan berumur empat hingga 38 tahun itu, tidak mempunyai dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua warga asing itu ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Anak Bukit di sini untuk siasatan sebelum diserahkan ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik.