Imigresen, JPJ tahan 74 pendatang dalam operasi bersepadu
Bernama
Mac 23, 2024 16:47 MYT
Mac 23, 2024 16:47 MYT
GUA MUSANG: Jabatan Imigresen Kelantan menahan 74 pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, awal pagi tadi.
Operasi yang bermula 10.30 malam sehingga 3.30 pagi tadi dilaksanakan di Stesen Penguatkuasa JPJ Gua Musang.
Pengarahnya Mohd Faizal Shamsudin berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 34 warga Bangladesh, 18 warga Myanmar, tujuh warga Indonesia, tujuh warga India, dua warga Filipina dan seorang warga Kemboja.
Beliau berkata kebanyakan tahanan yang berusia 20-an hingga 60-an itu melakukan kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan serta tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk memasuki dan berada di Malaysia.
"Kesalahan paling tinggi adalah di bawah Seksyen 15 (1)(C), Seksyen 6 (1)(C) dan Seksyen 55 (E)," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mohd Faizal berkata sebuah kenderaan persendirian jenis Proton Exora telah disita, selain tiga daripada empat penumpang warga Pakistan telah ditahan.
"Kita ada beberapa op yang diadakan secara berterusan seperti Op Sapu, Op Belanja dan pelbagai lagi untuk mengawal kehadiran pendatang di negeri ini.
"Imigresen Kelantan akan meneruskan operasi sehingga kita melihat rekod-rekod mula bersih dan tidak ramai pendatang yang bergerak bebas," katanya sambil menambah operasi itu melibatkan 35 anggota imigresen dan dibantu 12 anggota JPJ.
Mohd Faizal menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat secara terus ke pejabat imigresen yang berdekatan berkenaan kehadiran pendatang di kawasan masing-masing.
-- BERNAMA