Imigresen Johor cari pendekatan, formula tambah baik sistem CIQ BSI dan KSAB

Bernama
Mac 27, 2024 17:04 MYT
Kemudahan dan sistem di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) perlu ditambah baik. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor akan mencari pendekatan dan formula terbaik bagi menambah baik kemudahan dan sistem di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.
Pengarahnya Baharuddin Tahir berkata tindakan itu selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang dizahirkan baginda menerusi satu perbincangan di sini semalam.
"Tuanku bertitah untuk menambah baik kemudahan, sistem dan banyak lagi berkaitan perjalanan keluar dan masuk di CIQ BSI dan KSAB kerana kita tahu pintu masuk ini antara yang sibuk di dunia serta menyumbang dan menjana ekonomi negara.
"Sehubungan itu, saya telah mengarahkan pegawai saya untuk berbincang dan mencari pendekatan, kaedah dan formula yang terbaik," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai titah Tunku Mahkota Ismail dalam pertemuan itu yang turut dihadirinya semalam.
Semalam, Tunku Mahkota Ismail berkenan membincangkan pelbagai isu di dua pintu masuk laluan darat antara Malaysia dan Singapura dan perbincangan itu turut melibatkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani.
Menurut hantaran Facebook Tunku Mahkota Ismail, perbincangan itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh serta delegasi JIM dan Kementerian Dalam Negeri.
Menurut hantaran itu, pelbagai isu terkini telah disampaikan dan dibincangkan khususnya urusan operasi imigresen, pemprosesan trafik harian, purata masa menunggu untuk pemeriksaan imigresen serta penambahbaikan yang perlu di CIQ BSI dan KSAB.
-- BERNAMA
#CIQ #Bangunan Sultan Iskandar #Kompleks Sultan Abu Bakar #kemudahan #Imigresen
;