Imigresen gempur pengemis warga asing di Bukit Bintang, tahan lapan individu

Bernama
Oktober 6, 2023 18:00 MYT
Antara mereka yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi menggempur pengemis asing di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menggempur pengemis asing di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Ahad lepas dan menahan lapan warga asing termasuk seorang wanita China yang menyamar sebagai seorang Muslim dengan memakai niqab ketika mengemis.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua yang ditahan berumur antara lapan bulan dan 78 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga China, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan, serta seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Jordan.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata operasi bermula 6 petang itu melibatkan 18 pegawai imigresen dibuat susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan mengemis melibatkan warga asing di sekitar kawasan tumpuan pelancong di ibu kota itu.
Semasa serbuan, katanya salah seorang warga asing yang diperiksa telah membuat provokasi dengan berpura-pura mengalami kesakitan dan pengsan serta cuba untuk melarikan diri apabila pegawai operasi bertindak untuk membantu.
"Seorang perempuan warga China dikesan menyamar sebagai seorang wanita Muslim dengan memakai niqab untuk menutup identiti sebenarnya yang bukan seorang Muslim," katanya, serta menambah wanita lain yang ditahan turut memakai niqab dan menggunakan kanak-kanak bagi meraih simpati bagi mendapatkan wang.
Ruslin berkata mereka didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negara ini iaitu kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama, dan kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.
"Semua pelawat warganegara asing yang berada di negara ini dingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan diri ditahan pihak berkuasa," katanya.
-- BERNAMA
#gempur warga asing #jabatan imigresen #menyamar pengemis #Bukit Bintang
;