Imigresen gempur kilang, 39 PATI ditahan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 19, 2022 12:26 MYT
Oktober 19, 2022 12:26 MYT
SUNGAI PETANI: Seramai 168 pekerja lelaki warga asing diperiksa dan 39 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan ‘Op Mahir’ di sebuah kilang plastik kitar semula, dekat sini, awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula pukul 12 tengah malam dan berakhir tiga jam kemudian.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, kebanyakan perkerja sedang leka melakukan pekerjaan dan tidak menyedari kemasukan anggota imigresen ke kawasan itu.
Turut diserbu asrama penginapan pekerja dan kebanyakan mereka sedang berehat serta tidur dalam bilik asrama.
Mohd Ridzzuan berkata, keadaan asrama juga menjijikkan dan meloyakan dengan bau hancing dan bangkai tikus dapat dihidu sebaik memasukinya.
Pekerja-pekerja itu juga, tegas beliau, tidak disediakan kemudahan tandas dan bilik mandi yang selesa.
Menurutnya, setiap bilik asrama menempatkan lapan penghuni dan mereka dikatakan bekerja selama lapan jam sehari tanpa diberikan cuti dengan gaji RM75 sehari.
Katanya, kesemua 39 PATI lelaki yang berusia antara 17 hingga 51 tahun itu terdiri daripada 36 lelaki warga Myanmar, dua Pakistan dan seorang Bangladesh.
Kesemua didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan pas kerja tamat tempoh.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan awal mendapati ada dalam kalangan PATI terbabit mendakwa mereka sudah menetap di negara ini hampir tiga tahun lalu.
Mereka mendakwa memasuki negara ini mengikut laluan hutan serta terdapat juga yang melarikan diri daripada majikan lama di Kuala Lumpur untuk datang bekerja di kilang berkenaan.
Kesemua mereka dibawa ke pejabat Imigresen Anak Bukit untuk proses dokumentasi sebelum di hantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik.
Kes disiasat mengikut Sekysen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama.