Imigresen gempur Kampung Bukit Malut Langkawi, 18 PATI ditahan
Adie Sufian Zulkefli
Mac 17, 2021 14:59 MYT
Mac 17, 2021 14:59 MYT
LANGKAWI: Susulan aduan penduduk yang tidak berpuas hati dengan penempatan di Kampung Bukit Malut di sini yang didakwa dihuni ramai pendatang asing tanpa izin (PATI), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah melancarkan operasi Op Sapu, awal hari ini.
Susulan itu, 18 PATI berjaya ditahan.
Pengarahnya, Zuhair Jamaludin, berkata operasi selama kira-kira tiga jam itu bermula 12.40 tengah malam itu membabitkan seramai 25 pegawai JIM.
"Operasi hasil maklumat dan risikan ini antara beberapa siri yang bakal dilaksanakan sehingga tertangkapnya dalang membawa masuk PATI ke Langkawi.
"Secara keseluruhan seramai 262 individu diperiksa sebelum menahan 18 warga Myanmar berusia di antara 16 dan 38 tahun," katanya dalam kenyataan di sini.
Zuhair berkata, ketika pemeriksaan membabitkan 32 rumah atas air terdapat cubaan PATI meloloskan diri melalui pintu belakang dengan terjun ke laut.
"Malah, ada juga yang melarikan diri bersembunyi di kawasan belukar berhampiran, namun usaha mereka gagal kerana kawasan itu sudah dikepung.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan lima wanita atas kesalahan gagal mengemukakan pas yang sah untuk tinggal di negara ini," katanya.
Beliau berkata, kesemua PATI itu ditahan dan disiasat bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
"Mereka yang ditahan turut menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Kuah sebelum dibawa ke lokap imigresen di Pejabat JIM Alor Setar, seterusnya diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik," katanya.
#Langkawi
#Jabatan Imigresen Malaysia
#Kampung Bukit Malut
#pendatang asing tanpa izin
#pati
#COVID-19
#JIM
#Malaysia
#ujian saringan
#Myanmar