Imigresen gempur Bukit Malut, 18 PATI ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 17, 2021 14:17 MYT
Secara keseluruhan seramai 262 individu diperiksa sebelum menahan 18 warga Myanmar berusia antara 16 dan 38 tahun. - Foto: JIM
LANGKAWI: Rungutan dan aduan penduduk Langkawi yang tidak berpuas hati dengan penempatan di Bukit Malut membawa kepada operasi gempur oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, hingga berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Op Sapu, hari ini.
Pengarahnya, Zuhair Jamaludin, berkata operasi kira-kira tiga jam bermula 12.40 tengah malam itu membabitkan seramai 25 pegawai JIM.
"Operasi hasil maklumat dan risikan ini antara beberapa siri yang bakal dilaksanakan sehingga tertangkapnya dalang membawa masuk PATI ke Langkawi.
"Secara keseluruhan seramai 262 individu diperiksa sebelum menahan 18 warga Myanmar berusia antara 16 dan 38 tahun," katanya dalam kenyataan di sini.
Zuhair berkata, ketika pemeriksaan membabitkan 32 rumah atas air terdapat percubaan daripada kumpulan PATI itu meloloskan diri melalui pintu belakang dengan terjun ke laut.
"Malah, ada juga yang melarikan diri bersembunyi di kawasan belukar berhampiran, namun usaha mereka gagal kerana kawasan itu sudah dikepung.
"Mereka yang ditahan terdiri dari 13 lelaki dan lima wanita atas kesalahan gagal mengemukakan pas yang sah untuk tinggal di negara ini," katanya.
Beliau berkata, kesemua PATI itu ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
"Mereka yang ditahan turut menjalani ujian saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Kuah sebelum dibawa ke lokap imigresen di Pejabat JIM Alor Setar, seterusnya diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik," katanya.
#Langkawi #penempatan #Bukit Malut #pati #Jabatan Imigresen Malaysia #Kedah #Op Sapu
;