Imigresen capai rekod 100 peratus e-pembayaran, jimat RM2.4 juta

Bernama
Disember 1, 2021 12:11 MYT
Khairul Dzaimee berkata pihaknya tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan untuk membawa wang tunai ke bank pada setiap hari. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bersempena sambutan Hari Imigresen hari ini, Jabatan Imigresen Malaysia boleh berbangga dengan kejayaan yang dilakar antaranya menjadi agensi kerajaan pertama mencapai rekod 100 peratus e-pembayaran sehingga meraih penjimatan berjumlah RM2.4 juta tahun lepas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, ini dibuktikan dengan anugerah yang diterima daripada Kementerian Kewangan pada Khamis lepas, satu pengiktirafan kementerian itu kepada Jabatan Imigresen berkenaan konsep e-pembayaran.
Beliau berkata sejak memegang tampuk kepimpinan jabatan itu pada 2019, menjadi hasratnya untuk melakukan transformasi atau perubahan kepada sistem pembayaran, bagaimanapun mengakui ia tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-gesa.
"Pada 2019, Jabatan Imigresen masih lagi menggunakan sistem pembayaran secara tunai yang dilihat menyusahkan pelanggan dengan perlu beratur apabila membuat sesuatu urusan berkaitan imigresen.
"Sebagai contoh, jika seorang majikan yang ingin membayar levi pekerja asing berjumlah RM30,000, majikan berkenaan akan ke bank beratur untuk membuat bank draf, apabila tiba di imigresen pula mereka juga mengulang perkara yang sama," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini dalam wawancara sempena sambutan itu.
Justeru, Khairul Dzaimee berkata, beliau membuat perubahan daripada sistem konvensional itu kepada e-pembayaran menggunakan kad debit atau kredit termasuk 'direct transfer' (pemindahan terus) dan projek itu dimulakan dengan bahagian ekspatriat dan pasport pada Jun 2019.
Beliau berkata transformasi itu boleh dilakukan kerana semua majikan atau rakyat Malaysia mempunyai kad bank untuk melakukan sebarang pembayaran khususnya secara elektronik.
"Melalui projek itu, mereka yang ingin membuat pasport perlu menggunakan kad debit atau kredit atau medium pembayaran lain, kemudian semua urus niaga imigresen sama ada pembayaran visa, levi pekerja asing dan pembayaran lain diwajibkan menggunakan sistem e-pembayaran pada hujung 2019," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, beliau tidak lari daripada berdepan cabaran dan kritikan daripada orang awam yang mempersoalkan mengapa mereka tidak dibenarkan membuat bayaran secara tunai.
"(Ketika itu) ada yang terpaksa pinjam kad debit rakan tetapi saya tetap teruskan kerana perubahan kaedah bayaran ini penting untuk mengatasi masalah integriti.
"Kementerian Kewangan juga ada mengeluarkan arahan pada tiga bulan lepas bahawa jabatan kerajaan (harus) mengadaptasi e-pembayaran. Jadi, ini satu kejayaan yang membanggakan saya dan e-pembayaran ini bukan sahaja (dilaksanakan) di Putrajaya malah di Semporna, Sabah; Miri, Sarawak dan di seluruh Semenanjung Malaysia," katanya.
Khairul Dzaimee berkata pihaknya tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan untuk membawa wang tunai ke bank pada setiap hari dan langkah ini juga menyumbang kepada penjimatan yang dicapai.
-- BERNAMA
#Jabatan Imigresen Malaysia #e-pembayaran #transformasi #Khairul Dzaimee Daud
;