Imigresen buka cawangan pejabat pasport baharu di Presint 1, Putrajaya

Ridauddin Daud
Julai 21, 2023 15:30 MYT
Saifuddin berkata, proses pembukaan cawangan baharu pejabat pasport imigresen itu akan mengurangkan kesesakan waktu puncak di Pejabat Pasport Ibu Pejabat JIM. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka cawangan pejabat pasport yang baharu di pusat beli-belah Shaftsbury Putrajaya Mall, Presint 1 dalam masa terdekat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembukaan cawangan baharu itu akan memberi kemudahan kepada komuniti yang tinggal di sekitar Serdang, Sungai Besi, Dengkil, Cyberjaya dan Cheras.
“Dengan adanya cawangan ini, ia akan mengurangkan kesesakan waktu puncak yang sentiasa berlaku di ibu pejabat JIM di Putrajaya.
“Ini dalam fasa akhir, akan ambil masa dua tiga bulan lagi untuk renovasi yang tidaklah begitu besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Sambutan Hari Imigresen 2023 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pada Jumaat.
Saifuddin berkata, proses pembukaan cawangan baharu pejabat pasport imigresen itu akan mengurangkan kesesakan di waktu puncak bagi Pejabat Pasport di Ibu Pejabat JIM.
“Sebelum ini, kita sudah membuka cawangan pertama pejabat urusan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dan ini adalah peluncuran semasa yang kedua untuk membantu mengurangkan kesesakan masyarakat berurusan dengan Imigresen.
“Isu kesesakan di pejabat pasport ini termasuk di pintu masuk memerlukan tumpuan utama dan sentiasa menjadi keluhan rakyat, jadi KDN perlu sentiasa menambah baik perkara ini sama ada dari segi teknologi, sistem mahupun aset-aset,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini, JIM telah mengeluarkan sebanyak 1,613,751 pasport.
Menurutnya, ia termasuklah 68,416 pasport telah diproses dan dikeluarkan di ibu pejabat Imigresen di Putrajaya dengan purata 400 keping sehari.
#Saifuddin Nasution #Putrajaya #pejabat pasoport baharu #KDN
;