Imigresen bongkar kegiatan bawa masuk kumpulan pelacur melalui Bukit Kayu Hitam

Adie Sufian Zulkefli
Februari 1, 2024 13:40 MYT
Antara wanita warga asing yang ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam. - Gambar/ Astro AWANI
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah membongkar kegiatan membawa masuk wanita dari Thailand secara haram ke negara ini bagi tujuan pelacuran selepas penahanan 30 warga asing berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Sempadan (ICQS) di sini, pada Rabu.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, semua mereka yang menaiki 10 kenderaan termasuk pikap dan motosikal ditahan dalam operasi khas pada jam 12.30 tengah hari
Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap penumpang dalam kesemua kenderaan terbabit mendapati, sebahagian daripada mereka tidak mempunyai cop yang sah pada pasport dan pas sempadan untuk masuk ke negara ini.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 29 warga Thailand dan seorang warga Kemboja.
"Aktiviti persundalan... aktiviti tidak bermoral kebiasaan berkaitan dengan pelacuran... kalau di Thailand kita panggil ‘puying’ (pelacur)... gadis-gadis berkerja di rumah urut, di kelab malam, di pusat hiburan...
"Jadi ini antara lain menyebabkan kerajaan memutuskan mengetatkan sedikit kemasukan wanita-wanita yang berumur 35 tahun (ke bawah)... bertujuan untuk mengekang aktiviti tidak bermoral," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks JIM Bukit Kayu Hitam, pada Khamis.
Katanya, selepas proses dokumentasi dilakukan 13 daripada warga asing terbabit termasuk lima pemandu kemudian dihantar pulang kerana tidak memenuhi syarat kemasukan.
Bagaimanapun, 17 lagi warga Thailand yang terdiri daripada 12 wanita berusia antara 22 hingga 55 tahun dan lima lelaki yang disyaki transporter berusia 20 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Mohd Ridzzuan berkata, ketika ditahan, mereka memberi pelbagai alasan antaranya mahu mencari jalan untuk patah balik ke Thailand dan hendak mencari kaunter pertanyaan di situ.
Bagaimanapun, mereka ditahan selepas didapati melanggar syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh JIM.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta 1955 kerana tidak memiliki suatu pas yang sah yang dikeluarkan bagi memasuki Malaysia dan kesalahan yang biasa ditemui sewaktu pemeriksaan seperti tiada pasport dan tiada cop masuk.
"Selain itu, siasatan menyeluruh juga dilakukan mengikut Seksyen 8(3) Akta 155 - iaitu imigran larangan seperti penjenayah, pelacur, ekstrimis, pengganas, peminta sedekah, gila dan sebagainya," katanya.
Mohd Ridzzuan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini memandangkan kes ini agak unik kerana cubaan masuk ke negara ini tanpa membuat pengesahan cop pasport atau pas sempadan walaupun mempunyai dokumen itu.
Katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada berkemungkinan wujudnya sindiket atau sebaliknya serta pembabitan pegawai dalaman dalam kes ini atau sebaliknya.
Katanya, laporan polis sudah dibuat membabitkan 17 tangkapan itu dan mereka akan direman sekurang-kurangnya 14 hari untuk siasatan lanjut.
Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
#jabatan imigresen #pelacuran #Bukit Kayu Hitam #sindiket antarabagsa
;