Imigresen beri amaran kepada warga asing berniaga secara haram musim Deepavali

Bernama
Oktober 27, 2024 16:49 MYT
Pemeriksaan secara mengejut akan dilaksanakan secara berterusan dalam usaha menjadikan ibu negara sebagai destinasi yang selamat dan selesa. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur memberi amaran kepada warga asing terutama pendatang tanpa izin supaya tidak mengambil kesempatan bekerja, atau berniaga secara haram sepanjang musim perayaan Deepavali.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata pihaknya akan melakukan pemantauan bagi memastikan pendatang tanpa izin tidak mengambil kesempatan pada musim perayaan ini yang boleh menjejaskan pendapatan warga tempatan.
"Pemeriksaan mengejut ini dilaksanakan secara berterusan dalam usaha menjadikan ibu negara kita sebagai destinasi yang selamat dan selesa bagi setiap individu tidak kira warga tempatan mahupun asing selagi mereka mematuhi undang-undang negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata lebih 30 premis terdiri daripada kedai dan gerai penjaja persiapan Deepavali sekitar Little India, Brickfields diperiksa, dan kesalahan yang sering dikesan adalah membabitkan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Bagaimanapun kebanyakan warga asing yang diperiksa pada operasi itu mempunyai permit kerja sah tetapi ada yang menyalahgunakan pas berkenaan, contohnya mereka mempunyai permit bekerja pembinaan tetapi bekerja sebagai jurujual.
-- BERNAMA
#Imigresen #warga asing #berniaga #Deepavali
;