Imigresen asingkan tahanan etnik Rohingya, elak insiden tahanan lari berulang
Bernama
Februari 2, 2024 19:13 MYT
Februari 2, 2024 19:13 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia kini melakukan pengasingan semula ke atas 2,675 tahanan etnik Rohingya di 12 depot seluruh negara bagi mengelak insiden melarikan diri berulang.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata melalui pendekatan itu, bilangan etnik Rohingya dalam satu-satu blok akan dikurangkan dan dipindah ke blok lain serta dicampur dengan tahanan warga lain seperti Indonesia dan Bangladesh.
Beliau berkata itu antara langkah kawalan dan prosedur operasi standard segera yang dilaksana oleh jabatan berkenaan susulan insiden tahanan lari dari depot imigresen di Bidor, Perak.
"Ini untuk kita kurangkan mereka daripada bertindak agresif. Kalau berkumpul ramai-ramai, mereka ada kecenderungan untuk bertindak agresif," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Malam tadi, sejumlah 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu dan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia apabila terlibat dalam nahas jalan raya.
Daripada jumlah tahanan yang melarikan diri itu, 115 ialah etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.
Mengenai insiden di Depot Imigresen Bidor, Ruslin berkata tahanan yang kebanyakannya etnik Rohingya bertindak agresif merempuh pintu sel dan pagar selain membaling batu ke arah 14 pegawai Imigresen bertugas.
Beliau berkata dua daripada 28 anggota Jabatan Sukarelawan (RELA) yang bertugas di depot itu turut cedera ringan selepas dipukul sebelum tahanan terbabit melarikan diri.
"Mereka ini melarikan diri menggunakan jalan belakang, ikut kebun kelapa sawit menuju ke lebuh raya berdekatan.
"Kami percaya mereka masih berada di sekitar depot atau kawasan berhampiran... mereka mungkin bergerak dalam kumpulan kecil untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.
Ruslin juga berkata Imigresen tidak menolak kemungkinan semua tahanan yang melarikan diri telah melakukan perancangan awal.
"Siasatan lanjut akan dibuat kerana terlalu awal untuk buat spekulasi mengenai kejadian ini," katanya.
-- BERNAMA