Imigresen akui sukar melaksanakan penguatkuasaan PATI - Sakib
Anthea Yap
Mac 10, 2016 21:59 MYT
Mac 10, 2016 21:59 MYT
Jabatan Imigresen Malaysia mengakui sukar untuk melaksana penguatkuasaan penuh bagi membanteras pendatang asing tanpa izin, PATI.
Ketua Pengarahnya, Datuk Sakib Kusmi, berkata Jabatannya berdepan tiga masalah utama yang mengekang usaha itu untuk dilaksanakan.
Jelasnya, terdapat hanya 4,000 pegawai penguat kuasa di sekitar ibu negara menjalankan operasi bagi mengawal PATI yang dianggarkan mencecah 2.5 juta di seluruh negara.
Selain itu, katanya 14 depoh tahanan yang ada juga tidak mencukupi sekiranya PATI ditangkap secara besar-besaran pada satu-satu masa.
Tempoh penghantaran pulang PATI juga mengambil masa panjang kerana beberapa faktor antaranya pengurusan dokumentasi yang lama serta kesukaran menentukan status warganegara PATI.
Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan kini sudah ditingkatkan bagi membanteras PATI di negara ini.
"Penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala seperti melipatgandakan lebih ramai lagi yang akan terlibat dan kerap lagi kalau sekarang ni hari-hari operasi, kita bukan hari-hari lagi, mungkin setiap masa pegawai kita akan melawat tempat-tempat kawasan yang kita ada menerima aduan.
Apa yang disebutkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan, kawasan-kawasan tertentu seperti di barisan hadapan pun ramai itu, kita pun sedang lakukan operasi dan sekarang ini juga ada operasi", katanya di sini.
Menurut beliau, dalam mengatasi masalah kekurangan pegawai penguatkuasa, pihaknya kini mengadakan operasi bersepadu dengan beberapa agensi termasuk polis dan RELA.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed pada Rabu menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan agensi di bawah kementeriannya dalam usaha membanteras PATI.
Beliau yang melakukan tinjauan di Kompleks First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya, mengakui hanya memerlukan 20 minit untuk mengenal pasti premis yang menggunakan khidmat PATI.