IMF sambut baik cadangan Tun M, perlu tingkatkan dagangan dalam ASEAN
Firdaus Azil
Jun 24, 2019 13:40 MYT
Jun 24, 2019 13:40 MYT
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar dagangan dalam kalangan negara-negara ASEAN perlu dipertingkatkan lagi.
Pengarah Urusannya, Christine Lagarde berkata, peningkatan itu penting bagi memastikan kuasa ekonomi ASEAN dapat berkembang dan kekal kompetitif di pasaran global.
“Dalam kebanyakan ekonomi serantau di dunia, kami di IMF sentiasa menyokong integrasi yang lebih kukuh...ini sepatutnya yang dilakukan. Mengambil contoh kerjasama antara negara serantau yang lebih kaya, kami menyokong peningkatan dagangan serta kerjasama dalam projek penyediaan infrastruktur bagi tujuan itu.
“Tidak kisah betapa lainnya negara itu atau betapa berseleraknya dari segi geografi… hubungan antara negara berkenaan sentiasa boleh diperkukuhkan. (Dagangan serantau) ini adalah kekuatan yang anda tidak boleh nafikan dan kami sangat menyokong inisiatif berkenaan,” katanya kepada sidang media di ibu negara, hari ini.
Lagarde yang kini berada di Malaysia untuk lawatan kerja rasmi berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan Dr Mahathir Mohamad bahawa ASEAN perlu mengambil inisiatif meningkatkan dagangan dalam kalangan 10 negara peserta.
Sewaktu sidang media sempena Persidangan ASEAN ke-34 semalam, Dr Mahathir berkata, nilai dagangan di ASEAN masih rendah, iaitu sekitar 25 peratus, berbanding rantau lain seperti Kesatuan Eropah dan Kesatuan Amerika Utara yang mencapai 40 hingga 50 peratus.
#ASEAN
#CHRISTINE LAGARDE
#Dr Mahathir Mohamad
#IMF
#Kesatuan Amerika Utara
#Kesatuan Eropah
#Lagarde
#Tun Dr Mahathir Mohamad