IMF 'minat' usaha kerajaan pulihkan negara - Tun Mahathir

Harits Asyraf Hasnan
November 14, 2018 16:54 MYT
Menurut Mahathir, IMF sangat berminat dengan apa yang Malaysia lakukan dalam memulihkan semula negara. - Astro AWANI
Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde menyatakan minat beliau atas usaha kerajaan untuk memulihkan semula negara.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, Lagarde juga bersetuju untuk mengadakan satu lagi perjumpaan bersama beliau untuk membincangkan perkara tersebut dengan lebih terperinci.
“Beliau tahu berkenaan hubungan Malaysia dengan IMF pada masa lalu. Mereka sangat berminat dengan apa yang sedang kita lakukan dalam memulihkan semula negara, termasuk strategi menangani rasuah.
“Malah beliau menyatakan minat untuk berjumpa lagi pada masa akan datang bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui media pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 di sini hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan tertutup bersama Lagarde bagi membincangkan pelbagai perkara berkepentingan Malaysia terhadap IMF.
#ASEAN #CHRISTINE LAGARDE #IMF #kerajaan #Mahathir Mohamad #pulih negara
;