Imej negara bergantung cara mengendalikan isu Rohingya - Jeyakumar

Wan Syamsul Amly
Mei 19, 2015 13:16 MYT
JEYAKUMAR: Pihak penguatkuasa juga harus menggunakan kesempatan ini untuk menyiasat secara teliti kumpulan penyeludup manusia mencari keuntungan daripada kesengsaraan satu kaum. - Gambar Fail
Imej negara dilihat bergantung sepenuhnya kepada cara kerajaan mengendalikan cabaran ribuan pelarian Rohingya yang kini terkandas dan ‎berada di kapal-kapal kecil di Lautan Andaman.
Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj berkata, seandainya cara negara mengendalikan isu ini masih dilihat kurang berkemanusiaan, ia sekali gus akan menjejaskan imej negara di mata antarabangsa.
"Negara kita telah turun ke peringkat ketiga dalan isu pemerdagangan orang pada tahun lalu. Jika cara kita mengendalikan isu pelarian Rohingya dipandang kurang berperikemanusiaan, ia akan menjejaskan imej negara di kalangan antarabangsa.
"Ia adalah ajaran semua agama yang dianuti oleh rakyat negara ini bahawa kita harus menghulurkan bantuan kepada mereka yang tertindas dan dianiaya. Pelarian ini merupakan kumpulan yang amat dianiaya dan mungkin menghadapi maut jika masalah mereka tidak dikendalikan secara baik.
"Banjiran beribu-ribu pendatang asing daripada Myanmar boleh membawa penyakit berjangkit ke kalangan rakyat kita. Ia sekali gus membebankan sistem kesihatan dan mengakibatkan kos besar kepada negara‎," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.
Jeyakumar mengulas insiden ribuan pelarian Rohingya yang kini terkandas di kapal-kapal kecil dari Myanmar ke negara ASEAN yang lain.
Tegasnya, keengganan negara-negara ASEAN untuk menerima pendatang daripada Myanmar sebagai pelarian sedang menjejaskan keselamatan dan nyawa keluarga yang berada di dalam kapal kecil yang sedang belayar ke negara ini dan Sumatera.
FOTO : Pelarian Rohingya di perairan Thailand
Oleh itu jelasnya, negara harus membuat pendekatan terhadap pelarian Rohingya kepada prinsip-prinsip kemanusiaan di mana keselamatan dan kesihatan pendatang asing harus diberi keutamaan.
"Polisi menghalang mereka mendarat di negara ini adalah pendekatan yang tidak bertanggungjawab dan akan memburukkan imej negara di mata antarabangsa.
"Negara harus menganjurkan perbincangan dengan negara-negara ASEAN lain supaya beban mengendalikan krisis kemanusiaan pelarian Myanmar dapat dipikul bersama secara bertanggungjawab, selaras dengan semangat solidariti ASEAN.
"Isu disksriminasi terhadap Rohingya tidak boleh dianggap sebagai isu domestik negara Myanmar yang tidak boleh disentuh oleh negara jiran kerana isu ini telah menjadi masalah pelarian dalam skala besar. ASEAN harus berbincang dengan Myanmar untuk mengatasi masalah keganasan terhadap Rohingya," ujarnya.
BACA: Isu Rohingya: ASEAN harus panggil mesyuarat tergempar - Tun M
Katanya lagi, pihak penguatkuasa juga harus menggunakan kesempatan ini untuk menyiasat secara teliti kumpulan penyeludup manusia mencari keuntungan daripada kesengsaraan satu kaum yang menghadapi diskriminasi di negara asal nereka.
"Satu jawatankuasa bipartisan juga harus diwujudkan untuk mencari penyelesaian sama ada pendatang yang masuk ke negara ini disebabkan mencari kerja atau menjadi pelarian," jelasnya.
#Jeyakumar #Parlimen #Rohingya
;