IMD: Pertama kali di kedudukan lebih rendah berbanding Thailand, Indonesia
Sinar Harian
Jun 21, 2024 17:00 MYT
Jun 21, 2024 17:00 MYT
SHAH ALAM: Kejatuhan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024 di kedudukan ke-34 adalah suatu perkara yang mengejutkan kerana berada di tahap lebih rendah berbanding Indonesia dan Thailand.
Ringkasan AI
- Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke kedudukan ke-34 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2024, berada di tahap paling rendah berbanding Indonesia dan Thailand. Ini adalah berita mengejutkan dan kurang baik untuk negara.
- Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Kesihatan, menyatakan keprihatinan terhadap penurunan mendadak ini, menegaskan jika kejatuhan ini berlaku di bawah kerajaan terdahulu, ia pasti akan dianggap sebagai kegagalan oleh pihak tertentu.
- Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia dalam WCR 2024, mendahului Switzerland dan Denmark. Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan keempat selepas Singapura, Thailand, dan Indonesia.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pengumuman mengenai ranking itu merupakan satu berita kurang baik untuk negara dan kerajaan.
“Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke-34 daripada 67 negara dalam WCR IMD 2024.
“Yang paling mengejutkan, kita pertama kali berada di kedudukan yang lebih rendah daripada Indonesia dan Thailand,” katanya menerusi podcast Keluar Sekejap pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada tahun lalu, demikian menurut Laporan WCR yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi IMD.
Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mendaki empat anak tangga dari tahun sebelumnya untuk mengatasi Switzerland di tempat kedua, diikuti Denmark di tempat ketiga.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebelum ini negara pernah berhadapan dengan kejatuhan ranking, namun tidak mendadak.
Bagaimanapun, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau memberitahu, jika ranking jatuh ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, pasti ada kenyataan daripada DAP yang mendakwa kejatuhan itu seolah-olah satu kegagalan.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut mendakwa bahawa jika kerajaan Madani menjadikan WCR itu sebagai salah satu daripada tujuh petunjuk prestasi utama (KPI) maka pentadbiran ini gagal atas terma yang dibuat.
Menurutnya, ada tujuh ukuran yang juga tujuh KPI kerajaan Madani mengikut kerangka ekonomi Madani. Salah satunya adalah untuk menjadi negara pada kedudukan 12 tertinggi dari segi daya saing dan kecekapan.
“Saya semak Global Competitiveness Index (GCI) bawah World Economic Forum (WEF) saya rasa ia sudah berhenti mengeluarkan laporan itu. Mungkin merujuk kepada ini (WCR). Saya tidak lihat lagi apa GCI, selain yang baru ini (WCR).
“Jadi kalau itu adalah ukuran kerajaan Madani letakkan atas dirinya sendiri, maka kejatuhan ranking ini adalah bermaksud mereka gagal atas terma yang mereka sendiri buat,” ujarnya. - Sinar Harian