Imbas QR Code pada aplikasi SmartHalal untuk status halal produk

Bernama
Januari 29, 2021 20:31 MYT
Status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran kini boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal.
PUTRAJAYA: Status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran kini boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika melancarkan kod itu hari ini secara maya berkata pengguna perlulah memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem QR Code itu.
"Hanya sekali imbas menggunakan aplikasi telefon pintar SmartHalal yang disediakan, pengguna akan memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang ingin dikongsikan," katanya.
Aplikasi SmartHalal, yang dibangunkan berdasarkan Sistem Pensijilan Halal Malaysia (MYeHALAL), merupakan hasil kerjasama strategik jawatankuasa bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri (JAIN), katanya.
Menurut Zulkifli, aplikasi itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan lokasi serta maklumat tentang pembekal yang telah diiktiraf dan diberi pensijilan halal Malaysia oleh pihak berautoriti di negara ini.
Antara ciri yang terdapat dalam aplikasi SmartHalal ialah pengumuman terkini berkenaan industri halal, carian lokasi melalui google map dan waze, serta carian melalui QR Code.
Zulkifli berkata Jakim akan terus mengemas kini dan menambah baik sistem QR Code pada aplikasi SmartHalal agar ia sentiasa relevan dan mengikuti perkembangan semasa.
-- BERNAMA
#status halal #SmartHalal #QR Code #aplikasi #telefon pintar #Zulkifli Mohamad Al-Bakri
;