Imam didakwa tumbuk, cekik dan pijak isteri
Shuhada Abdul Kadir
Januari 7, 2020 14:41 MYT
Januari 7, 2020 14:41 MYT
Seorang imam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menumbuk, mencekik dan memijak isterinya sehingga cedera, Mei tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zaki Kamal, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja mendatangkan cedera terhadap isterinya yang berusia 29 tahun dengan cara menumbuk muka sebelah kiri, mencekik leher dan memijak badan wanita itu.
Kesalahan itu dilakukan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka sekitar 7.45 malam, 9 Mei tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A kanun yang sama dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Raudhah Mazman mencadangkan jaminan RM6,000.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan dia hanya merupakan penjawat awam di Jabatan Agama Islam Melaka(JAIM) manakala isterinya tidak bekerja selain perlu menanggung dua anak yang masih kecil.
Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Mohamad Izwan pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan syarat tambahan hanya isterinya sebagai penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#cedera
#didakwa pukul isteri
#imam muda
#Islam
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#Melaka
#Muhammad Zaki Kamal
#penjawat awam
#pijak isteri
#wanita