Imam didakwa mencuri, miliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran
Astro Awani
Februari 14, 2019 13:02 MYT
Februari 14, 2019 13:02 MYT
Seorang imam yang juga pesara polis dihadapkan ke Mahkamah Seskyen Kuala Pilah pada Khamis atas tiga pertuduhan memiliki senjata api serta peluru tanpa kebenaran dan mencuri.
Tertuduh, Sulaiman Abdul Rahman, 63 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol revolver .38 tanpa kebenaran sah dan diperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
Bagi petuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir peluru tanpa kebenaran yang sah mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960 yang mana boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Lot 5568, Jalan Sidang Mohd Nor, Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah Selangor sekitar 11.40 pagi 27 Januari 2019.
Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan mencuri sepucuk pistol revolver .38 dan 30 butir peluru milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilakukan sekitar 10 malam pada 27 Disember 2007 di kaunter stor cawangan persenjataan (AMRA) Balai Polis Kuala Pilah.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira pendakwaan di bawah Seksyen Akta Senjata Api.
Tertuduh yang diwakili Peguam, M. Gobi bagaimanapun merayu agar jaminan diberikan dengan alasan faktor kesihatan tertuduh yang menghidap penyakit prostat.
Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Nariman kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
#Hakim Nariman Badruddin
#kesihatan
#Kuala Pilah
#mahkamah
#PDRM
#peluru
#penjara
#polis
#Sara Afiqah Zulkipli
#senjata api
#Sulaiman Abdul Rahman