Iltizam Pakatan Harapan bela nasib rakyat - Muhyiddin

Astro Awani
Mei 9, 2019 14:56 MYT
Muhyiddin tidak menafikan kerajaan menyedari bahawa kesan bebanan kos sara hidup masih dirasai oleh rakyat. - Gambar fail BERNAMA
USAHA untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Demikian ditegaskan oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena setahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Kerajaan kata beliau, akan meneruskan usaha memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah bagi meringankan beban yang ditanggung.
Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook peribadinya, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyentuh usaha bersungguh-sungguh yang akan terus dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.
Berikut kenyataan penuh Muhyiddin:
Tanggal 9 Mei 2018 adalah tarikh yang amat bersejarah buat Malaysia.
Pada hari tersebut, rakyat telah membuat keputusan untuk memberikan mandat kepada Pakatan Harapan untuk mentadbir Malaysia, sekali gus menamatkan pemerintahan Barisan Nasional selama lebih enam dekad.
Mandat Ini menandakan iltizam rakyat untuk mengakhiri sebuah pemerintahan kleptokrasi dan membuka tirai pentadbiran Malaysia Baharu yang lebih demokratik, bersih dan beramanah.
Dalam tempoh setahun yang lalu, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh Pakatan Harapan, selain terdapat beberapa kekurangan yang masih perlu diperbaiki.
Antara kejayaan yang paling utama ialah meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul untuk membolehkan negara kita dipacu ke arah mencapai matlamat kemakmuran bersama.
Sebagai langkah awal, agenda Reformasi Institusi telah dimulakan dengan pelaksanaan beberapa inisiatif seperti penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bertujuan meningkatkan kredibiliti Parlimen sebagai institusi demokrasi utama yang mewakili suara rakyat.
Di peringkat pentadbiran kerajaan, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) telah ditubuhkan dengan diberikan tanggungjawab untuk menggubal dasar dan melaksanakan strategi meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik termasuk pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional.
Untuk meningkatkan ketelusan dan integriti pimpinan negara, semua anggota pentadbiran telah mengisytiharkan harta masing-masing untuk tatapan umum, iaitu satu amalan terbaik dalam pentadbiran negara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Usaha untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat juga telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.
Ini termasuk memberikan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
Namun, tidak dinafikan bahawa kesan bebanan kos sara hidup masih dirasai oleh rakyat.
Bantuan yang diberikan oleh kerajaan sekadar meringankan sedikit beban yang ditanggung, tetapi pastinya tidak mampu memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat.
Justeru, dalam keadaan pendapatan rakyat yang secara puratanya masih belum mencatatkan peningkatan yang ketara sejak beberapa dekad yang lalu, usaha yang bersungguh-sungguh akan terus dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat dan meningkatkan pendapatan rakyat menerusi penciptaan peluang-peluang pekerjaan dalam bidang-bidang pertumbuhan ekonomi baharu yang mampu menawarkan pendapatan yang lebih lumayan.
Yang pasti, komitmen kerajaan ialah untuk memastikan ekonomi negara sentiasa berkembang, jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah diatasi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu.
Barulah rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas dan kedudukan geografi akan dapat menikmati Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity).
Usaha ini pastinya akan mengambil sedikit masa.
Namun, saya percaya dengan komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah, meningkatkan integriti dalam pentadbiran dan menyediakan ekosistem pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, cita-cita mewujudkan Kemakmuran Bersama ini akan dapat dicapai.
Yang penting ialah kerajaan dengan dokongan rakyat terus memberikan tumpuan kepada usaha-usaha untuk memajukan negara dan membela nasib rakyat.
Saya berdoa semoga Malaysia akan terus berada di landasan yang betul dan rakyatnya sentiasa dilimpahi dengan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran.
Selamat menyambut ulang tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.
#9 Mei #Malaysia Baharu #Malaysia Memilih #Pakatan Harapan #setahun malaysia baharu
;