Ilmuwan agama disaran main peranan jelas keberkesanan vaksin
Hasimi Muhamad
Ogos 2, 2021 18:18 MYT
Ogos 2, 2021 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pemimpin agama perlu memainkan peranan untuk meyakinkan penganut agama masing-masing mengenai keberkesanan vaksinasi dalam membendung pandemik COVID-19.
Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti berpendapat, tanggungjawab tersebut tidak seharusnya terletak pada fakta sains dan para saintis semata-mata, sebaliknya ilmuwan agama juga perlu menggalas tugas tersebut.
Menurut beliau, itu merupakan perjuangan bersama semua pihak dalam memerangi krisis kesihatan yang melanda dunia ketika ini.
"Ini kerana kita semua berperanan sebagai petugas barisan hadapan dalam melawan pandemik ini. Sebagai contoh, jika kamu bertanya apakah peranan agama ketika ini dalam memerangi wabak ini?
"Ya, kami (ilmuwan agama) ada peranannya. Ia adalah tanggungjawab umum terutamanya untuk kami bersuara bagi mengatasi isu mengenai vaksin dan keraguannya.
"Apabila kita melihat populasi terutamanya dalam lingkungan yang konservatif, mereka mungkin beranggapan bahawa; 'Apakah yang vaksin boleh lakukan (atau) ianya haram, misalnya'. Jadi, ia memberi peranan kepada ilmuwan untuk berdepan dengan isu berkenaan," katanya dalam ucapan sempena Persidangan Antarabangsa Farmasi dan Sains Kesihatan 2021 ketiga anjuran Universiti Kuala Lumpur (UniKL) secara maya, pada Isnin.
Persidangan bertajuk "Modern Research, Innovation and Practice: The Need of the Hour" turut disertai oleh Ketua Penyelidik (Pembangunan Vaksin COVID-19 Oxford), Profesor Dr Teresa Lambe dan Presiden UniKL, Prof Datuk Dr Roziah Omar.
Mengulas lanjut, Afifi berkata, persidangan yang dianjurkan itu merupakan satu usaha bagi menggalakkan pemikiran kreatif serta keperluan dalam mengatasi masalah yang dihadapi global kini.
Beliau dalam masa yang sama turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk kakitangan perubatan, pihak berkuasa dan petugas bukan kesihatan yang berkorban dalam membantu kerajaan mengekang wabak tersebut.
#COVID-19
#Persidangan Oxford
#Datuk Dr Afifi Al-Akiti
#Keberkesanan vaksinasi
#Peranan ilmuwan agama
#krisis kesihatan
#COVID-19 global
#Covid-19 Malaysia
#berita hari ini