Ilmuan Islam Uthman El Muhammady meninggal dunia
Astro Awani
Mac 25, 2013 22:29 MYT
Mac 25, 2013 22:29 MYT
Dr Muhammad Uthman El Muhammady yang cukup dikenali sebagai seorang ilmuan Islam dilaporkan meninggal dunia Isnin malam di kediamannya di Taman Duta, Kuala Lumpur.
Pendakwah kelahiran Kota Bharu itu banyak menulis serta membentang kertas-kertas kerja dalam seminar-seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa berkenaan Islam dari segi akidah, kerohanian, akhlak, budaya dan falsafah.
Pada tahun 1963, Allahyarham memasuki Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat ijazah dalam bidang Pengajian Islam tahun 1966. Kemudian beliau menjadi tutor pada tahun 1969.
Allahyarham terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga ke tahun 1973 sebelum kembali ke Kelantan untuk menumpukan perhatian sebagai seorang penulis dan pendakwah bebas.
Pada tahun 1995, Allahyarham dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D.Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha-usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.
Selain itu, Allahyarham banyak menumpukan masanya di dalam masyarakat setempat dengan melaksanakan pengajian kitab di masjid-masjid sekitar Pasir Mas dan Kota Bharu, Kelantan selain dari menunaikan jemputan ceramah di merata tempat.
Allahyarham yang dilahirkan pada 1 Februari 1943 itu pulang ke Rahmatullah pada usia 70 tahun.