ILKS mohon pinjaman tanpa faedah RM3 bilion, bantu pacu industri
Harits Asyraf Hasnan
April 8, 2020 11:20 MYT
April 8, 2020 11:20 MYT
Institusi latihan kemahiran swasta (ILKS) menggesa kerajaan memperuntukkan pinjaman tanpa faedah berjumlah RM3 bilion sebagai dana pusingan untuk membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Presiden jawatankuasa bertindak yang mewakili ILKS, Nordin Abdul Malek, berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan mereka kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dana pusingan itu katanya, harus diuruskan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (PTPK) di mana setiap ILKS boleh memohon berdasarkan kriteria yang ditetapkan.
"Kami meminta bantuan kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan sekurang-kurangnya 30,000 pelatih swasta dan sekitar 10,000 hingga 15,000 orang berisiko kehilangan kerja mereka.
"Apa yang menjadikan keadaan lebih buruk ialah kita tidak mempunyai sistem e-pembelajaran untuk pendidikan kemahiran," katanya kepada Astro AWANI.
Mengikut rekod, ketika ini terdapat sejumlah 674 ILKS berdaftar di negara ini.
Tambahnya, institusi kemahiran tidak dapat memuat naik silibus pendidikan mereka secara dalam talian, tidak seperti institusi akademik kerana terdapat proses penilaian yang mesti dipatuhi Jabatan Pembangunan Kemahiran.
Selain itu, pakej rangsangan ekonomi khas bernilai RM10 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedikit sebanyak bermanfaat kepada ILKS dalam membayar gaji kakitangan mereka.
"Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk kami meneruskan operasi dan latihan kemahiran kami untuk pelajar kami.
"Dana khas itu akan memastikan aliran tunai untuk penyedia latihan swasta," katanya.
#bantu kemahiran swasta
#dana khas
#dana pusingan
#ILKS
#Institusi Latihan Kemahiran Swasta
#Kementerian Kewangan
#Nordin Abdul Malek
#pendidikan