ILI terkawal, ibu bapa tidak perlu bimbang - Khairy

Shuhada Abdul Kadir
Jun 26, 2022 14:35 MYT
Khairy berkata, langkah kawalan termasuk penutupan sekolah mahupun institusi pendidikan akan dilakukan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selepas membuat beberapa proses penilaian dan pemantauan.- Gambar fail
REMBAU: Kluster Penyakit Seperti Influenza (ILI) yang dikesan di beberapa sekolah berasrama baru-baru ini berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah kawalan termasuk penutupan sekolah mahupun institusi pendidikan akan dilakukan pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selepas membuat beberapa proses penilaian dan pemantauan.
Malah beliau menegaskan, ibu bapa juga tidak perlu khuatir dengan perkembangan kes berkenaan yang berada ditahap terkawal ketika ini yang mana jangkitan kluster itu hanya memerlukan pengasingan dan tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan.
"Kes influenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa terutamanya bila kita dah tak ada PKP dan kita dah mula mengurangkan langkah keselamatan awam seperti penjarakan fizikal, tak perlu pakai pelitup muka di luar dan sebagainya.
"Ini sudah pasti akan mendedahkan dengan penyakit berjangkit, mungkin selama dua tahun yang lepas ini penyakit berjangkit seperti influenza menurun, sebab memang kita berkurung di rumah atau ada langkah kesihatan awam tertentu yang kita ikuti.
"Jadi memang kalau kita lihat dari segi influenza, HFMD dan sebagainya ia akan meningkat namun demikian ia masih lagi terkawal dan tidak ada apa-apa yg perlu dibimbangkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Saringan Kesihatan Peka B40 ‘outreach’, di Dewan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rembau pada Ahad.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan satu kejadian kluster ILI yang melibatkan sebuah sekolah berasrama penuh di daerah Gombak, dikesan pada 19 Jun lepas.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata kluster tersebut dikesan, apabila PKD Gombak menerima notifikasi kes pertama dari fasiliti kesihatan swasta, mengenai kejadian seorang pelajar yang didapati positif influenza A.
Kemudian satu lagi sebuah sekolah menengah berasrama di daerah Petaling dikesan pada Selasa lepas selepas PKD Petaling menerima notifikasi 110 orang pelajar bergejala demam, batuk, selesema serta sakit tekak dan kes pertama telah dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lepas.
Terbaharu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak turut mengesahkan satu kes kluster ILI melibatkan sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Ipoh, Perak.
#ILI #Khairy Jamaluddin #penyakit berjangkit #Rembau
;