Ilham Seni@Kampar: Karya mural ceriakan dinding lorong belakang

Aida Aziz
September 28, 2022 09:30 MYT
Mural itu bertujuan untuk menceriakan semula lorong-lorong belakang yang seakan terbiar sebelum ini. - Foto Pejabat Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri
KAMPAR: Mural yang menghiasi dinding bangunan lama di Jalan Gopeng-Kampar, di sini, berpotensi menjadi satu lagi tarikan terbaharu buat pengunjung.
Bukan hanya tertumpu kepada keunikan mural, malah setiap karya di situ turut dilengkapi dengan imbasan kod quick response (QR), yang menceritakan makna di sebalik hasil seni itu.
Projek mural yang dinamakan Ilham Seni@Kampar itu digerakkan sejak tahun lalu dan merupakan kesinambungan daripada program Jom Warnakan Bandar@Kampar pada tahun 2018.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, mural itu bertujuan untuk menceriakan semula lorong-lorong belakang yang seakan terbiar sebelum ini.
Selain itu katanya, kehadiran lukisan dan warna terang di lorong tersebut diharap mampu melestari dan menghidupkan kawasan pekan lama.
"Idea Ilham Seni@Kampar ini tercetus susulan daripada kesinambungan program Jom Warnakan Bandar@Kampar 2.0 oleh Majlis Daerah Kampar sejak tahun 2018.
"Gerak kerja program tersebut meliputi mengecat beberapa blok bangunan di Jalan Gopeng-Kampar dengan warna oren dan putih serta menaik taraf lorong belakang bangunan yang terlibat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Nolee Ashilin berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Logo Pelancongan Kampar & Perasmian Ilham Seni@Kampar, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Dalam pada itu, Nolee Ashilin menambah, mural berkenaan bermotifkan tradisi, budaya, sejarah dan alam semula jadi.
"Ia disiapkan sepenuhnya oleh pelukis tempatan melalui kerjasama Persatuan Pelukis Perak.
"Pelaksanaan bagi kerja melukis mural ini telah mengambil masa selama lapan minggu bermula 21 Disember 2020 sehingga 16 Febuari 2021,melalui peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN)," katanya lagi.
Terdahulu pada program itu, beliau turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Logo Pelancongan Kampar.
Ia merupakan acara kemuncak bagi program acara pelancongan beYoutiful@Kampar yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hinnga 26 September.
Program selama 3 hari 2 malam itu bertujuan membawa pempengaruh melawat kawasan pelancongan di daerah Kampar dalam usaha mempromosikannya secara atas talian.
#Ilham Seni Kampar #Mural #Nolee Ashilin Mohammed Radzi #bangunan lama
;