Ikuti panduan keselamatan elektrik sebelum pulang beraya - TNB
Bernama
Januari 22, 2020 21:29 MYT
Januari 22, 2020 21:29 MYT
Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada Sabtu ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan beberapa panduan kepada orang ramai bagi memastikan peralatan elektrik dan kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat semasa pulang ke kampung halaman.
TNB dalam satu kenyataan mengingatkan orang ramai supaya menutup suis peralatan elektrik yang tidak digunakan serta tanggalkan palam bagi mengelakkkan arus terus mengalir.
Di samping itu, TNB menyarankan semua soket kuasa perlu berada dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) dan kabel penyambung (extension cable).
Orang ramai juga diingatkan supaya membuka gulungan kabel penyambung ketika digunakan bagi menggelakkan ia menjadi terlalu panas sehingga mencetuskan kebakaran.
Penggunaan alat pengukur masa amat digalakkan oleh TNB sekiranya anda ingin memasang lampu bagi tujuan keselamatan supaya ia tidak menyala selama 24 jam.
Panduan lain juga menyarankan orang ramai untuk memeriksa peralatan elektrik yang ingin digunakan dan beban lebih pada soket kuasa perlu dielakkan terutama bagi kediaman yang menjadi tumpuan keluarga untuk berkumpul.
Jika berlaku sebarang gangguan bekalan elektrik, segera hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan.
-- BERNAMA