Ikut SOP ditetapkan, golongan rentan tidak digalakkan rentas negeri - Pakar Kesihatan Awam
Fareez Azman
Disember 13, 2020 14:52 MYT
Disember 13, 2020 14:52 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan rentan terutamanya warga emas tidak digalakkan merentas negeri, meskipun larangan ke atas aktiviti itu telah ditarik semula oleh kerajaan sejak 7 Disember lalu.
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, ia sebagai langkah melindungi golongan berisiko tinggi itu daripada terdedah jangkitan COVID-19.
"Apabila kerajaan mengumumkan merentas sempadan negeri, ramai ambil kesempatan melakukan perjalanan pelbagai tujuan sosial, termasuk melancong ke pelbagai destinasi menarik dalam negara.
"Sekiranya melancong ini adalah salah satu ikhtiar merehatkan minda dan mendapatkan ketenangan, saya harap pelancong mengikut prosedur operasi standard (SOP) disarankan.
"Pertama golongan yang perlu kita jaga, golongan rentan berisiko tinggi misalnya warga emas, saya tidak galakkan mereka melakukan perjalanan rentas negeri seperti melancong. (Kadang-kadang) ada yang beranggapan pergilah (melancong) bawa ibu-bapa telah berumur (warga emas) atau datuk nenek sekali," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.
Malah setiap rakyat yang melakukan rentas negeri katanya lagi, perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pengesanan kontak rapat dijalankan.
Disamping itu, pengusaha pelancongan juga ujarnya, perlu memastikan keselamatan pelanggan serta pekerja mereka terjamin.
"Jika kita lihat di sektor-sektor swasta misalnya, ada dihadkan kepada kapasiti berada dalam satu-satu ruang (tempat kerja) pada satu-satu masa, saya yakin jika sektor pelancongan mengamalkan SOP, penularan kes (COVID-19) dapat dibendung.
"Memandangkan kluster terbesar adalah kluster jangkitan di tempat kerja, majikan dalam sektor pelancongan hendaklah memastikan pertama, pekerja mereka dapat dilindungi daripada terkena jangkitan.
"Kemudian, mereka juga harus menjamin keselamatan dan kesihatan pengunjung mereka yang merancakkan ekonomi dalam sektor pelancongan dalam negara," katanya lagi.
#Astro Awani
#SOP
#rentas negeri
#golongan rentan
#pelancongan
#sektor pelancongan
#dalam negara
#perjalanan
#COVID-19
#Pakar Kesihatan Awam
#rakyat
#ekonomi
#kerajaan
#tanggungjawab
#warga emas