'Ikut proses perbendaharaan negara dan prosedur' - Wan Ahmad
Tan Su Lin
Julai 20, 2013 17:40 MYT
Julai 20, 2013 17:40 MYT
Syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU-13) telah melalui proses perbendaharaan negara dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, syarikat berkenaan juga tidak mempunyai hubungan rapat dengan mana-mana pemimpin tertinggi SPR seperti yang didakwa.
SPR turut kesal dengan dakwaan bahawa agensi itu mempunyai hubungan dengan syarikat pembekal dakwat kekal yang digunakan semasa PRU-13.
“YB Rafizi apabila menyebut pengerusi SPR ada hubungan rapat dengan kontraktor pembekal dakwat kekal adalah perkara yang tidak benar sama sekali dan saya anggap sebagai fitnah dan pembohongan. Pada bulan puasa pun dia cakap macam itu.” ulas Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku timbalan pengerusi SPR.
Sebelum ini, pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya terlibat dengan perjanjian melibatkan pembekalan dakwat kekal.
Tambah Wan Ahmad, SPR juga akan mengkaji semula penggunaan dakwat kekal untuk pilihan raya akan datang.