Iktiraf UEC bukan keutamaan kerajaan - Fadhlina
Hilmi Malik
Disember 15, 2022 17:04 MYT
Disember 15, 2022 17:04 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan menumpukan usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sebaliknya KPM akan memberi tumpuan kepada cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat ketika ini.
Sebarang isu melibatkan UEC misalnya yang masih berbangkit akan dilihat dari semasa ke semasa, katanya.
“Apa-apa berkait dengan manifesto juga kita akan lihat semula kerana sekarang kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita tidak lagi bercakap pasal manisfesto Pakatan Harapan (PH) semata-mata,” katanya ketika Sidang Media Khas KPM pada Khamis.
Sebelum ini, isu berkenaan dibangkitkan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang sekali lagi menggesa kerajaan agar mengiktiraf UEC termasuk sewaktu pemerintahan kerajaan PH dua tahun lalu.
Dalam masa sama, Dong Zong turut menjelaskan bahawa segala kurikulum Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) serta mata pelajaran Sejarah telah dipinda mengikut syarat yang dikeluarkan KPM.
Ini termasuk meletakkan bahasa Kebangsaan sebagai mata pelajaran wajib selari dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan keadaan kepelbagaian pendidikan di negara ini.
Dong Zong menerusi satu kenyataan sebelum ini, berkata sedar dan memahami kebimbangan masyarakat Melayu berhubung pelaksanaan itu bahkan mereka sedia untuk mengadakan sesi dialog bersama pelbagai pihak.
Usaha itu katanya sebagai langkah untuk mewujudkan pemahaman mengenai UEC selain meningkatkan kesepakatan dalam aspek pendidikan yang dibuat secara rasional.
Bagaimanapun, tindakan itu telah mencetuskan kemarahan pihak tertentu yang mendakwa Dong Zong terlalu rakus berhubung tuntutan berkenaan.