Iktiraf Taman Negara Niah Tapak Warisan UNESCO, julang Sarawak sebagai lokasi geowarisan dunia
Nuzuluddin Abdul Razak
September 5, 2022 13:16 MYT
September 5, 2022 13:16 MYT
MIRI: Pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) akan menghubungkan Sarawak secara langsung kepada komuniti sejarah dan warisan di seluruh dunia.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memelihara, mengekalkan, memulihkan dan berkongsi Outstanding Universal Values (OUV) yang ada pada Taman Negara Niah itu kepada komuniti global.
Jelasnya ia adalah sebahagian sumbangan Sarawak dalam usaha memahami perkembangan sejarah manusia di dunia menerusi pemuliharaan antara tapak arkeologi, geowarisan, dan ekosistem semula jadi terpenting di Asia Tenggara Itu.
“Ini antara sebab utama Sarawak meletakkan keutamaan yang cukup tinggi untuk memastikan Taman Negara Niah disenaraikan sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang akan meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan organisasi terlibat untuk menghargai warisan dunia ini melalui pendidikan, kreativiti dan pembangunan negara bangsa.
“Warisan ini sangat penting kerana ia berfungsi sebagai penanda identiti budaya dan membuka jalan untuk berhubung dan belajar tentang kehidupan nenek moyang, kebijaksanaan, imaginasi, kepercayaan dan inovasi mereka dari masa lalu,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa untuk Pencalonan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia di Hotel Pullman Miri di sini pada Isnin.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Persidangan antarabangsa melibatkan sekitar 300 peserta itu akan berlangsung selama empat hari bermula 5 hingga 8 September ini yang akan membabitkan beberapa sesi perkongsian kajian yang menyentuh budaya, pelancongan, alam semula jadi, dan komuniti.
Dossier atau dokumen utama yang mengandungi butir-butir tapak, justifikasi pencalonan dan tatacara perlindungan, pengurusan serta pengekalan integriti tapak Taman Negara Niah akan didokumentasikan sebelum diserahkan kepada pihak UNESCO pada Februari 2023 sebagai syarat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia.
Dalam ucapannya beliau berkata sekiranya pengiktirafan itu berjaya dilaksanakan, Taman Negara Niah akan menerima peruntukan khas daripada organisasi global bagi menyokong program pemuliharaan tertentu di tapak warisan berkenaan.
“Pengiktirafan di peringkat global ini juga akan mempromosikan pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif kepada komuniti yang tinggal di sekitar kawasan Niah manakala kerajaan negeri sentiasa menghargai alam semulajadi serta warisan kebudayaan ini sebagai aset terpenting untuk membangunkan negeri ini sebagai negeri yang moden dan berdaya saing.
”Kepelbagaian biologi unik di Sarawak dilindungi oleh Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, manakala warisan budaya juga dilindungi oleh Ordinan Warisan Sarawak 2019, yang dilaksanakan baru-baru ini”.
Setakat ini UNESCO sudah mengiktiraf lima tempat bersejarah di Malaysia sebagai Tapak Warisan Dunia iaitu Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Bandaraya Melaka, Georgetown Pulau Pinang dan Lembah lenggong Perak.