Iktiraf prinsip asas kedaulatan undang-undang demi kebebasan badan kehakiman - Karen Cheah

Irwan Muhammad Zain
Ogos 18, 2022 17:48 MYT
Karen Cheah juga berpendapat, badan kehakiman perlu kekal bebas untuk memastikan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan dapat dipikul sebaiknya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Untuk mengangkat kebebasan badan kehakiman, prinsip asas kedaulatan undang-undang perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn menjelaskan banyak usaha telah dilakukan sebelum ini bagi mengukuhkan badan kehakiman dari sebarang intimidasi oleh pihak lain.
Karen Cheah juga berpendapat, badan kehakiman perlu kekal bebas untuk memastikan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan dapat dipikul sebaiknya.
"Kerana peranan mereka adalah amat penting untuk menjaga kedaulatan undang-undang, mereka adalah penjaga terakhir dalam memastikan kedaulatan undang-undang.
"Bagi sebuah negara demokrasi yang matang, badan kehakiman yang bebas diperlukan untuk bertindak memeriksa dan memberi pengimbangan kepada kuasa-kuasa di bawah eksekutif dan legislatif.
"Jika perkara ini tidak dititik beratkan maka prinsip asas kedaulatan undang-undang tidak diiktiraf," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau menjelaskan bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan harus mengekalkan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Perseketuan.
Perkara ini penting tegas beliau bagi memastikan tidak ada salah anggap dalam kalangan masyarakat hingga badan kehakiman tidak lagi dihormati.
"Adalah perlu semua ketiga-tiga pengasingan kuasa iaitu eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman tidak boleh campur tangan dengan tangungjawab masing-masing.
"Apabila mereka campur tangan, maka masyarakat akan mula untuk hilang keyakinan terhadap badan kehakiman dan anda akan mendengar suara-suara mengatakan badan kehakiman di negara ini tidak bebas.
"Untuk memastikan masyarakat yakin dengan badan kehakiman, sebarang intimidasi terhadap badan kehakiman tidak boleh dilakukan," katanya lagi.
Karen Cheah menegaskan adalah penting bagi semua pihak memahami bahawa kes-kes yang sedang dibicarakan tidak boleh dikiritik eksekutif atau legistaltif.
#Karen Cheah Yee Lynn #Badan Kehakiman #Majlis Peguam #kedaulatan undang-undang #kebebasan #intimidasi
;