IKTBN sebagai pemangkin lahir 25,000 tenaga mahir menjelang 2017

Azyyati Ahmad
Oktober 18, 2016 22:23 MYT
IKTBN dikenal pasti sebagai pemacu dalam melahirkan 25,000 tenaga mahir menjelang tahun 2017. - Foto BERNAMA
Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dikenal pasti sebagai pemacu dalam melahirkan 25,000 tenaga mahir menjelang tahun 2017.
Ia bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memperhebat sektor automotif negara dan Industri Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI) Datuk Madani Sahari, industri automatif dunia sangat berdaya saing ketika ini dan bagi memastikan keupayaan pekerja dalam bidang automatif meningkat, pelajar perlu diberikan kemahiran khusus.
"Tahun 2017, kita mensasarkan 25,000 pekerja mahir yang harus dilahirkan bagi memenuhi kehendak industri automotif tempatan.
“Kita lihat IKTBN sebagai salah satu ejen yang dikenal pasti dapat menyumbang kepada angka sasaran 25,000 orang ini," katanya.
Bertepatan dengan hasrat itu juga, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara IKTBN Chembong dengan kilang pemasangan, Toyota Assembly Services Sdn Bhd dan pengedar tunggal jentera berat, Kinhock Traktor Sdn Bhd.
Melalui MoU ini, tajaan dapat diberikan kepada pelatih dalam bidang teknologi kenderaan motor dan teknologi kenderaan perdagangan serta sumbangan bahan latihan seperti jentera terpakai kepada semua IKTBN bagi tujuan pembelajaran.
MOU tersebut ditandatangani selepas Seminar Automotif 2016 yang dihadiri hampir 500 pelajar automotif dari seluruh institut kemahiran di Malaysia pada Selasa.
Seminar ini turut mendapat jalinan kerjasama dari Institut Latihan Kemahiran Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Institut Automotif Malaysia (MAI), dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
#automotif #IKTBN #Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara #TVET
;