Ikrar derma organ masih rendah di Kelantan - Dr Izani

Vivi Sumanti
September 8, 2022 19:25 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, angka itu masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negeri lain. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kelantan mencatatkan hampir 13,000 penderma organ berdaftar sejak 1997 yang berikrar untuk menderma organ mereka menerusi kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata, angka itu masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan negeri lain.
"Biarpun begitu, ini satu perkembangan yang baik, biarpun jumlahnya masih terlalu sedikit. Disebabkan itu, kita giat mengadakan kempen seperti ini supaya ramai lagi yang mahu menderma organ mereka bagi membantu penerima organ yang sangat memerlukan.
"Jika pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh boleh bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) misalnya. Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) pula boleh beri kepakaran. Kita boleh hantar orang untuk untuk mengisi slot ceramah berhubung kempen kesedaran.
"Kita nak rakyat dapat bersama-sama untuk menjadi penderma," katanya pada Majlis Sambutan Minggu Kesedaran Penderma Organ Peringkat Negeri Kelantan pada Tahun 2022, di sini, hari ini.
Menurut Dr Izani, kemungkinan faktor sikap enggan menderma dan disebabkan masih ada perasaan takut dan tidak mahu menderma organ apabila meninggal dunia antara penyebab kurangnya penyertaan daripada penderma organ.
Tambahnya, ada juga yang enggan menerima organ daripada orang yang sudah meninggal dunia.
Dr Izani turut meminta kerjasama daripada semua pihak terutama NGO bagi membantu kempen kesedaran itu di kalangan rakyat negeri ini.
Katanya, langkah ini akan memberi harapan kepada 10, 279 orang pesakit yang menunggu organ daripada penderma.
Untuk rekod, Malaysia merupakan antara bilangan negara terendah yang mempunyai bilangan penderma organ di dunia dengan jumlah pengikrar penderma organ sebanyak 515, 530 orang.
#rakyat kelantan #derma organ #pengikrar #Dr Izani Husin #Majis Fatwa Kebangsaan
;