IKN perlu bajet lebih tinggi untuk ubat-ubatan kanser mahal
Bernama
Mac 11, 2023 13:11 MYT
Mac 11, 2023 13:11 MYT
PUTRAJAYA: Institut Kanser Negara (IKN) berharap bajet bagi rawatan kanser dapat ditingkatkan khusus untuk ubat-ubatan kerana berlakunya kekangan dari segi rawatan berikutan ubat-ubatan tidak dapat diberikan kepada setiap pesakit kerana harganya yang mahal.
Pengarahnya Dr Mohd Anis Haron@Harun berkata IKN menerima kira-kira RM80 juta untuk enam bulan pertama tahun ini yang digunakan bukan sahaja untuk ubat-ubatan tetapi juga emolumen, pembedahan dan lain-lain, namun jumlah itu dilihat tidak mencukupi kerana harga ubat-ubatan untuk rawatan kanser adalah mahal dan tidak dapat diberikan secara percuma kepada semua pesakit.
"Dengan bajet yang kami terima untuk enam bulan pertama ini lebih kurang RM80 juta, itu sahaja yang kita boleh belanjakan untuk ubat-ubat yang mahal. Ubat kanser terkenal mahalnya kecuali ubat generik yang menjadi lebih murah tetapi ubat-ubat terbaharu masih lagi mahal. Kami tidak mampu memberinya secara percuma jadi IKN berharap dapat bajet yang lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program World Cancer Day Fun Run 2023 yang dirasmikan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, di sini hari ini.
Dr Mohd Anis berkata bajet yang tinggi untuk ubat-ubatan diperlukan kerana ketika ini terdapat ubat tertentu seperti targeted therapy atau ubat sasaran yang menjadi kaedah pertama selain proses kimoterapi untuk rawatan kanser.
Beliau berkata IKN masih mengenakan kuota kepada pesakit terpilih dan keputusan itu dibuat pakar perubatan untuk kesesuaian ubat berkenaan dan proses itu bukan mudah kerana perlu mendapatkan kelulusan yang memerlukan dokumentasi lengkap bahawa pesakit itu sesuai untuk mendapatkan ubat berkenaan.
Sementara itu, Dr Mohd Anis berkata terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kanser ekoran promosi yang aktif dalam laman sosial dengan IKN menerima kemasukan pesakit luar sebanyak 51,000 orang dan pesakit dalam seramai 9,500 orang tahun lepas.
Beliau berkata kes-kes yang stabil akan dirujuk ke hospital lain supaya IKN dapat menerima kes-kes baharu.
Katanya, IKN akan memberi fokus kepada golongan pesakit yang datang pada peringkat lewat yang dilihat mencatat peningkatan iaitu kira-kira 40 peratus supaya golongan berkenaan datang untuk membuat saringan lebih awal.
Beliau berkata kanser paru-paru dilihat meningkat selama bertahun-tahun dengan pesakit berumur 40 tahun ke atas dan kanser yang paling lazim dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal manakala bagi wanita pula ialah kanser payudara.
Dr Mohd Anis berkata IKN akan berusaha untuk terus meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan pencegahan dan saringan awal selain pemakanan sihat kerana kanser dapat dicegah dan dirawat dengan baik sekiranya dikesan awal.
Sementara itu, Dr Zaliha dalam ucapan ringkas berkata beban penyakit kanser dijangka terus meningkat disebabkan prevalen faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit yanng tinggi dan populasi menua di Malaysia.
Namun demikian, beliau berkata berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hampir 30 hingga 50 peratus penyakit kanser boleh dicegah melalui amalan pemakanan sihat, melakukan aktiviti fizikal, tidak merokok serta mengelakkan pengambilan alkohol secara berlebihan.
-- BERNAMA