IKM Bintulu komited persiapkan belia dalam sektor minyak dan gas

Syafik Shukri Jalil
Disember 2, 2021 13:31 MYT
Struktur pelantar minyak sebenar antara fasiliti yang disediakan di IKM cawangan Bintulu bagi memberi pendedahan kepada pelajar. - Foto Astro AWANI
BINTULU: Agenda memperkasakan pembangunan belia dalam sektor minyak dan gas antara fokus utama pembukaan Institut Kemahiran Mara (IKM) cawangan Bintulu.
Dibuka pada 2011, fasiliti tersebut merupakan satu-satunya IKM di bahagian Borneo yang menawarkan program di bawah kluster minyak dan gas.
Menurut Timbalan Pengarah IKM Bintulu (Khidmat Pengurusan & Hal Ehwal Pelajar), Wan Alwi Wan Bujang, fasiliti itu menawarkan masing-masing tiga kursus pengajian di peringkat sijil dan diploma.
Malah, pengambilan sekitar 120 orang pelajar bagi setiap semester membolehkan setiap pelajar dinilai dan diberi pengetahuan mengenai sektor itu secara lebih mendalam.
Ujarnya, pelajar lepasan IKM di sana juga boleh menyambung pengajian di peringkat tertinggi sekiranya mereka berhasrat berbuat demikian bagi menambahkan ilmu pengetahuan bidang itu.
“Laluan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah terbuka luas sama ada di IPTA dan IPTS.
“Sekiranya untuk tujuan bekerja dalam sektor ini, mereka (pelajar) sudah ada kompetensi terutama sekali yang nak pergi ke industri.
“Tetapi sekiranya mereka nak terus bekerja ke pelantar mereka hanya memerlukan BOSIET (Basic Offshore Safety Induction and Emergency Training) dan beberapa perkara lain lah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di IKM Bintulu.
Tambah Wan Alwi, tenaga pengajar yang dipilih untuk membimbing pelajar-pelajar ini juga merupakan mereka yang sudah terlatih dan punya pengalaman bekerja dalam sektor tersebut.
Hal ini penting bagi memberi pendedahan sebenar kepada pelajar sebelum berpeluang bekerja sendiri dalam sektor itu khususnya ketika bekerja di pelantar minyak.
“Semua tenaga pengajar di sini sememangnya berkelayakan dan mereka juga mempunyi kompetensi-kompetensi tersendiri termasuk daripada program program sama ada di sijil ataupun diploma.
“Inilah inisiatif IKM khusus dalam memberi gambaran sebenar tentang suasana sebenar bekerja di pelantar minyak amnya,” tambahnya lagi.
Penubuhan fasiliti dengan kursus kemahiran sebegini selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dalam memperkukuhkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Latihan Teknikal, Pendidikan dan Vokasional (TVET).
Ia diperkasakan melalui pengwujudan projek perintis makmal pendidikan STEM serta kursus kecekapan dan kursus singkat TVET.
IKM Bintulu menawarkan enam kursus melibatkan tiga program peringkat sijil termasuk Teknologi Kejuruteraaan Pemasangan Elektrik, Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Perpaipan dan Teknologi Kejuruteraan Fabrikasi Struktur.
Manakala tiga program peringkat diploma melibatkan Teknologi Kejuruteraan Penyelengaraan Instrumentasi dan Kawalan Loji, Teknologi Kejuruteraan Operasi Loji dan Teknologi Kejuruteraan Pemasangan Elektrik.
#Institut Kemahiran Mara IKM cawangan Bintulu #kluster minyak dan gas #Pendidikan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik STEM #MARA
;