Iklan 'TKI On Sale' dikecam

Bernama
Oktober 29, 2012 18:45 MYT
Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) mengecam keras penyebaran iklan 'TKI On Sale' oleh pihak tertentu dan mendesak kerajaan menyiasat hingga ke akar umbi bagi dikenakan tindakan tegas.
Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia Datuk Chamil Wariya berkata siapa pun yang mencetak dan menyebarkan iklan yang berupa lembaran 'flyer' itu mesti dikenakan tindakan tegas kerana perbuatan itu boleh dianggap memperdagangkan manusia.
"Apa lagi dengan diskaun 40 peratus yang ditawarkan itu seolah-olah pihak terlibat dengan mudah dapat 'menjual orang' dan mungkin juga membelakangkan peraturan dan undang-undang negara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau kecewa kerana tindakan pengiklan itu, walaupun tidak disiarkan di media arus perdana, telah menimbulkan kemarahan banyak pihak di Indonesia yang menganggapnya suatu bentuk pelecehan terhadap tenaga kerja Indonesia (TKI).
"Kerajaan Malaysia, termasuk golongan wartawan sendiri, bekerja keras untuk menjalin hubungan baik dengan Indonesia, namun, jika iklan seperti ini dibiarkan tanpa dikenakan tindakan, semua usaha baik pelbagai pihak di kedua-dua negara akan menjadi sia-sia," katanya.
Chamil berkata iklan itu mungkin merupakan satu percubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi suasana semasa di mana terdapat banyak permintaan di kalangan rakyat Malaysia untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah.
"Rakyat Malaysia sendiri perlu berhati-hati terhadap iklan sebegini kerana ia mungkin hanya merupakan satu bentuk penipuan, yang akan menjadi beban undang-undang kepada majikan jika pembantu rumah itu adalah pendatang yang masuk ke negara ini secara tidak sah," katanya.
Media massa di Indonesia hari ini menyiarkan berita serta gambar iklan itu yang dikatakan melecehkan TKI, yang disebarkan di Jalan Chow Kit.
Detiknews melaporkan bahawa pertubuhan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan TKI, Migrant Care 'menemui iklan dari sebuah ejen penyalur tenaga kerja asal Indonesia di Malaysia yang isinya bernada negatif'.
Turut dilaporkan oleh media massa di Indonesia ialah penjelasan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan bahawa kerajaan Malaysia tidak sekali-kali terlibat dengan iklan itu dan kesal di atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mengedarkan iklan itu.
Beliau juga dilaporkan sudah meminta pihak berkuasa Malaysia termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyiasat segera dan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar iklan itu.
Sementara itu usaha Bernama menghubungi tiga nombor telefon bimbit yang disiarkan pada iklan itu, dua daripadanya hanya dijawab oleh peti pesanan suara.
Satu nombor lagi dijawab oleh seorang lelaki yang mengaku bekerja sebagai pemandu dan tidak tahu menahu mengenai iklan itu dan bagaimana nombor telefonnya boleh digunakan oleh penyebar iklan itu.
Lelaki itu mengakui marah kerana terganggu oleh banyak panggilan yang diterimanya bertanyakan mengenai tawaran diskaun pembantu rumah itu.
#Indonesia #Iswami #Malaysia #Migrant Care #TKI
;