Iklan 'Take Care', kempen terbaharu Petronas mengingatkan kembali semangat perpaduan yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia merupakan siri kedua kempen yang bertajuk 'To Malaysia with Love' sempena menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Menurut Pengurus Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abd Rahman, iklan itu menyampaikan mesej tentang kewujudan sifat kasih sayang, kebersamaan, dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan rakyat.

"Ia adalah sebuah cerita yang mempromosi perpaduan sosial dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan bangsa.Ia juga selari dengan komitmen Petronas untuk membawa rakyat bersama untuk bersatu.

"Kali ini tema kami adalah 'Jaga Diri' (Take Care). Mungkin kita tidak menyedari kita sentiasa saling bantu membantu terutamanya dalam sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia," kata Zahariah ketika ditemui selepas pelancaran iklan 'Take Care' di sini hari ini.

Bagi Pengarah Produksi, Ismail Kamarul, ia merupakan kali kedua beliau dapat menghasilkan iklan untuk Petronas.

Beliau turut mengakui ia sesuatu mencabar memandangkan Petronas sangat terkenal dengan hasil-hasil iklan terutamanya di waktu perayaan.

"Petronas sudah menghasilkan filem sempena Merdeka sejak 20 tahun lalu, tetapi apa yang berbeza kali adalah tumpuan kepada pelbagai individu dan kehidupan mereka.

"Sebelum ini, banyak tumpuan diberi kepada satu atau dua watak, tetapi kali ini lebih kepada perjalanan hidup beberapa orang sebagai rakyat Malaysia.

"Itulah perbezaan iklan pada kali ini berbanding sebelum ini," katanya.


Bagi siri pertama kempen, Petronas melancarkan enam video pendek yang memaparkan komitmen syarikat dalam bahagian pendidikan, bakat, pembangunan keupayaan, bekalan tenaga, serta pemuliharaan alam sekitar.

Kesemua enam video itu sudah disiarkan pada beberapa saluran utama sejak 15 Ogos lalu, manakala iklan yang dilancarkan akan disiarkan hingga 18 September ini.